
KUALA LUMPUR, 8 April – Polis menahan 43 lelaki disyaki terbabit dalam insiden serangan ke atas sebuah pusat hiburan karaoke (KTV) di Taman Shamelin, Cheras, Ahad lalu.
- Permohonan reman terhadap 35 suspek, seorang lagi disambung reman; tujuh dibebaskan dengan jaminan polis.
- Dalam operasi, polis merampas sebuah lori dipercayai digunakan dan beberapa senjata seperti batang besi dan kayu.
- Lebih 50 individu bertopeng menyerang premis KTV, kekecohan berlaku dan rakaman serangan tular di media sosial.
Permohonan reman akan dibuat terhadap 35 suspek yang kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, manakala seorang lagi suspek akan disambung reman selepas ditahan pada Isnin.
Tujuh individu lain dilaporkan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Kesemua suspek berusia antara lingkungan 20 hingga 40 tahun termasuk dalang utama, ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar Lembah Klang sejak Isnin hingga awal pagi tadi.
Dalam operasi tersebut, polis turut merampas sebuah lori di Taman Orkid, Cheras yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan, sekali gus membawa kepada penahanan suspek lain.
Selain itu, beberapa senjata seperti batang besi dan kayu turut dirampas bagi membantu siasatan.
Dalam kejadian itu, lebih 50 individu bertopeng dilaporkan menyerang premis KTV terbabit dan mencetuskan kekecohan di lokasi.
Rakaman insiden memaparkan serangan ala kumpulan kongsi gelap itu turut tular di media sosial selepas dirakam orang awam berhampiran lokasi kejadian.