LONDON, 27 Oktober – Arsenal melebarkan jurang di persada Liga Perdana Inggeris kepada empat mata selepas menewaskan Crystal Palace 1-0 hasil jaringan Eberechi Eze, manakala Manchester City terus tergelincir selepas tewas 0-1 kepada Aston Villa pada Ahad.
Kemenangan itu menambah sengsara pencabar utama, termasuk Liverpool yang tewas kepada Brentford pada Sabtu, sekali gus menyaksikan Bournemouth kini menduduki tempat kedua selepas menumpaskan Nottingham Forest 2-0.
Tottenham turut mencatat kemenangan bergaya 3-0 ke atas Everton untuk melonjak ke tangga ketiga liga.
Eze, yang berhijrah ke Arsenal Ogos lalu dengan nilai £60 juta (USD80 juta), meledakkan gol pertamanya dalam saingan liga menerusi voli kencang selepas hantaran bebas Declan Rice gagal dikeluarkan pertahanan Palace, enam minit sebelum tamat babak pertama.
Skuad bimbingan Mikel Arteta sekali lagi mempamerkan disiplin bertahan tinggi, mencatat rekod 10 perlawanan tanpa bolos daripada 13 aksi dalam semua pertandingan musim ini, walaupun mereka tidak berada pada prestasi menyerang terbaik.
“Teknik daripada Eze luar biasa. Kami perlukan sesuatu yang istimewa,” kata Arteta.
“Apabila kami tidak menjaringkan gol kedua, risikonya sentiasa ada, tetapi kami berjaya mengehadkan peluang lawan dengan sangat baik.”
Bagaimanapun, Arsenal sedikit bimbang selepas Rice dan William Saliba terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pada separuh masa kedua.
Dengan kemenangan tersebut, Arsenal kini mendahului Manchester City di tempat kelima dengan kelebihan enam mata dan memiliki jurang tujuh mata ke atas Liverpool yang berada di tangga ketujuh. -AFP