
KUALA LUMPUR, 2 April – Kedutaan Besar Iran di Malaysia menzahirkan penghargaan kepada rakyat negara ini kerana berdiri teguh bersama Republik itu yang sedang berdepan konflik di Asia Barat.
- Solidariti rakyat memberi kekuatan kepada Iran, menurut hantaran rasmi di laman X.
- Tehran menegaskan tidak menginginkan peperangan, berpegang kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan.
- Pendirian Iran berpunca daripada keadilan, bukan pembalasan, untuk membela mangsa tidak berdosa.
- Ketegangan meningkat selepas serangan AS dan Israel, diikuti tindakan balas Tehran terhadap Israel dan negara jiran.
Menerusi hantaran di laman X rasminya, kedutaan berkenaan menyatakan, solidariti yang dipamer, memberi kekuatan kepada negara tersebut.
Hantaran yang turut disertakan video itu menegaskan,Tehran tidak pernah menginginkan peperangan mahupun mengancam negara-negara jiran, sebaliknya, kekal berpegang kepada prinsip keamanan dan kemanusiaan.
Pendirian Iran adalah berlandaskan keadilan, bukan pembalasan atau kebencian, khususnya bagi membela nasib mangsa yang tidak bersalah.
“Lebih 2,000 nyawa tidak berdosa telah terkorban, majoritinya orang awam, termasuk 214 kanak-kanak.
“Selain itu, 600 sekolah dan 295 pusat perubat didakwa menjadi sasaran serangan, mengakibatkan kemusnahan besar terhadap kemudahan asas dan menjejaskan kehidupan masyarakat,” menurut video itu.
Tehran menegaskan situasi itu bukan peperangan biasa, sebaliknya serangan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
Ketegangan di Asia Barat terus memuncak sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancar serangan terhadap Iran, 28 Februari lalu.
Ia mengakibatkan Tehran bertindak balas dengan menyerang Israel dan beberapa negara jiran yang menempatkan aset ketenteraan AS.