fb fb fb fb fb

Dua gol Wijnaldum sekat Al Nassr, terikat 2-2 dengan Al Ettifaq

Georginio Wijnaldum/Foto AFP

DAMMAM, 31 Disember – Cristiano Ronaldo dan Joao Felix masing-masing menyumbang jaringan, namun Al Nassr terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 menentang Al Ettifaq dalam aksi Liga Pro Saudi di sini, pada Selasa.

Pasukan tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain tengah, Georginio Wijnaldum pada minit ke-16 selepas melakukan larian memecah pertahanan sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru kanan atas gawang.

Al Nassr bergelut untuk mendapatkan rentak permainan pada separuh masa pertama dan gagal mencipta sebarang jaringan sebelum rehat.

3112 SKN LNR SAUDI ITF NSRJoao Felix (kiri) dan Cristiano Ronaldo/Foto REUTERS 

Bagaimanapun, pasukan pelawat bangkit sebaik separuh masa kedua bermula apabila Joao Felix menyamakan kedudukan 1-1 hanya lebih seminit selepas permainan bersambung, hasil sepakan rendah dari dalam kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Al Ettifaq, Marek Rodak.

Momentum itu diteruskan Al Nassr apabila mendahului perlawanan pada minit ke-67. Joao Felix sekali lagi mencetus ancaman apabila rembatan susulannya terkena bahagian belakang Ronaldo sebelum bola meluncur masuk ke gawang untuk gol kedua pasukan.

Namun, Wijnaldum memastikan Al Ettifaq tidak pulang tangan kosong apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-80, sekali gus mengikat kedudukan 2-2 hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Al Nassr kekal di puncak carta Liga Pro Saudi dengan 31 mata daripada 11 perlawanan, tiga mata mengatasi Al Taawoun di tempat kedua, manakala Al Hilal berada di kedudukan ketiga dengan 26 mata dan masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN