KUALA LUMPUR, 27 Oktober- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyambut baik pengumuman Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, berhubung penganjuran kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA.
Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan berkata pengumuman itu amat signifikan bukan sahaja kepada bola sepak rantau ASEAN, tetapi juga kepada Malaysia yang merupakan tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tahun ini.
"Ia membawa makna simbolik yang besar terhadap peranan dan komitmen Malaysia dalam memperkukuh perpaduan serta kerjasama serantau melalui sukan bola sepak.
FAM menyifatkan penganjuran Piala ASEAN FIFA ini sebagai satu langkah bersejarah yang membuka lembaran baharu dalam pembangunan dan penyatuan bola sepak ASEAN di bawah bumbung FIFA," kata Datuk Mohd Yusoff dalam dalam deraf jawapannya, hari ini.
Kejohanan itu juga bakal menjadi platform penting untuk meningkatkan tahap persaingan antara pasukan ASEAN, selain memperkukuh hubungan antara negara serantau dalam semangat kesukanan dan persahabatan.
Pada masa sama, pelaksanaan kejohanan itu dalam kalendar rasmi FIFA dijangka membantu mempertingkat mutu pertandingan serta pendedahan pemain di peringkat antarabangsa.
"Kami percaya dengan sokongan padu semua negara anggota dan kepimpinan FIFA, Piala ASEAN FIFA akan menjadi simbol kebangkitan bola sepak ASEAN di pentas dunia."
"Bagaimanapun, penganjuran Piala ASEAN FIFA masih lagi di peringkat perbincangan awal, tetapi saya percaya akan ada perbincangan lebih lanjut dan komprehensif berkenaan perkara ini," tambah kenyataan itu.
FAM berharap penganjuran kejohanan berprestij itu dapat direalisasikan demi kemajuan bola sepak ASEAN dan manfaat seluruh negara serantau.