ROM, 27 Oktober- Juventus pada Isnin mengambil langkah drastik dengan memecat jurulatih, Igor Tudor susulan kekalahan 1-0 kepada Lazio yang menjadikan kelab Serie A itu hanya mengumpul lima mata dalam lima perlawanan terakhir.
Kelab Turin itu memaklumkan bahawa jurulatih sementara pasukan utama lelaki, Massimiliano Brambilla akan mengemudi pasukan dalam perlawanan menentang Udinese pada Rabu.
"Juventus FC mengumumkan bahawa hari ini kami telah melepaskan Igor Tudor daripada jawatannya sebagai jurulatih pasukan utama lelaki, bersama barisan kejurulatihnya termasuk Ivan Javorcic, Tomislav Rogic dan Riccardo Ragnacci."
“Kami mengucapkan terima kasih kepada Igor Tudor dan seluruh barisan kejurulatih atas profesionalisme dan dedikasi mereka sepanjang beberapa bulan lalu serta mendoakan kejayaan mereka dalam kerjaya akan datang," kata kenyataan kelab itu.
Juventus kini menduduki tempat kelapan Serie A, ketinggalan enam mata daripada pendahulu Napoli.
Dalam Liga Juara-Juara, mereka berada di kedudukan ke-25 daripada 36 pasukan selepas seri satu dan tewas dua perlawanan daripada tiga perlawanan pertama. -AFP