KUALA LUMPUR, 30 Disember - Pasukan Lee Zii Jia (Team LZJ) hari ini mengesahkan ketua jurulatih Yeoh Kay Bin mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama pasukan itu kerana mahu mencari cabaran baharu pada tahun depan.
Team LZJ memaklumkan kehadiran Kay Bin sangat penting dalam struktur pasukan, khususnya memberikan sokongan kepada pemain perseorangan lelaki negara Zii Jia yang melalui musim mengecewakan selepas mengalami pelbagai kecederaan.
“Tidak ada apa yang perlu saya perkatakan selain rasa hormat yang setinggi-tingginya kepada Kay Bin, yang sentiasa berada di sisi saya sepanjang setahun ini. Saya sudah belajar banyak perkara baharu daripadanya, dan saya juga berasa kecewa kerana tidak mendapat banyak peluang untuk membuktikan apa yang telah kami usahakan dalam latihan.
“Oleh sebab itu, saya memahami hasrat Kay Bin untuk mencari cabaran baharu demi dirinya sendiri dan saya mendoakan yang terbaik buat beliau,” kata Zii Jia dalam kenyataan hari ini.
Meskipun tidak menyambung kontraknya, Kay Bin bersetuju untuk terus berada di sisi Zii Jia bagi menghadapi Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung dari 6 hingga 11 Jan di Axiata Arena, Bukit Jalil di sini.
Sementara itu, Team LZJ mengumumkan bekas pemain perseorangan lelaki negara, Liew Daren, bersetuju untuk kembali menyertai pasukan itu dalam kapasiti kejurulatihan.
Pasukan itu menyifatkan kepulangan Daren sangat dialu-alukan, memandangkan status beliau sebagai antara anggota perintis Team LZJ ketika pasukan itu berusaha untuk mengukuhkan struktur kejurulatihannya.
Kay Bin dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan itu pada Disember tahun lepas.- BERNAMA