fb fb fb fb fb

Jepun sasar trofi Piala Dunia 2026

Pemain Jepun, Daichi Kamada (kedua kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama pasukannya semasa perlawanan persahabatan antarabangsa antara Jepun dan Bolivia di Stadium Nasional di Tokyo pada 18 November 2025/foto AFP

TOKYO, 30 Disember - Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Jepun, Hajime Moriyasu, menyasarkan skuad Samurai Biru menjulang trofi Piala Dunia 2026, walaupun pasukan itu belum pernah melepasi peringkat 16 terbaik dalam sejarah kejohanan tersebut.

Moriyasu menegaskan pasukannya mahu membuktikan Jepun mampu mencipta sejarah di pentas bola sepak dunia.

“Sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia tahun depan, kami meletakkan sasaran untuk memenangi trofi kejuaraan. Ia adalah matlamat besar yang belum pernah kami capai, namun kami mahu membuktikan Jepun mampu melakukannya melalui prestasi kami,” katanya.

Jepun menjadi pasukan pertama yang melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 pada Mac lalu dan berjaya mara ke pusingan 16 terbaik dalam tiga daripada empat edisi terakhir kejohanan itu.

Pada Piala Dunia Qatar 2022, Jepun mengejutkan dunia apabila menewaskan Jerman dan Sepanyol di peringkat kumpulan sebelum tewas kepada Croatia menerusi penentuan sepakan penalti.

Moriyasu turut menyeru sokongan padu peminat dan seluruh rakyat Jepun, serta menegaskan kejayaan di Piala Dunia memerlukan semangat kebersamaan.

“Piala Dunia adalah pentas persaingan global. Untuk menjuarai kejohanan dan membangkitkan semangat Jepun, kami memerlukan semua pihak untuk berdiri dan berjuang bersama kami,” katanya ketika menghadiri majlis penutupan dagangan di Bursa Saham Tokyo, di sini.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai. Jepun diundi dalam Kumpulan F bersama Belanda, Tunisia dan satu pasukan pemenang pusingan 'play-off', dengan perlawanan pembukaan menentang Belanda dijadualkan berlangsung pada 14 Jun di Dallas.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI