SEPANG, 30 Disember – Ketua Jurulatih boling padang kebangsaan, Zuraidi Puteh, menegaskan fokus utama skuad negara ketika ini adalah memastikan tahap kesiapsiagaan maksimum menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026 dan Asia Bowls, khususnya dari aspek penyesuaian gelanggang serta intensiti latihan.
Beliau dalam masa sama mengharapkan pemain mampu mengekalkan momentum cemerlang selepas meraih kejayaan berganda di Terbuka China dan Tiger World Bowls Invitation 2025.
Menurut Zuraidi, perbezaan jenis permukaan gelanggang di setiap kejohanan antarabangsa menuntut pelarasan latihan yang terancang bagi memastikan pemain dapat menyesuaikan diri dengan pantas.
“Bagi kejohanan Komanwel serta persiapan ke Asia Bowls, kami terpaksa menjalani latihan di beberapa lokasi berbeza. Di Komanwel, kami menggunakan portable rink, manakala bagi Asia Bowls pula kami berlatih di padang sintetik berasaskan karpet jenis Moven.
"Faktor latihan perlu diubah suai dan disesuaikan. Semua aspek ini memerlukan penyesuaian rapi agar persiapan dapat disempurnakan mengikut keadaan sebenar pertandingan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, sejurus tiba dari Hangzhou, China.
Zuraidi menjelaskan kepelbagaian bentuk latihan itu penting bagi meningkatkan kefahaman taktikal, sentuhan bola serta keyakinan pemain sebelum menghadapi kejohanan utama.
Beliau turut memaklumkan Malaysia dijangka menjadi tuan rumah kejohanan jemputan antarabangsa melibatkan beberapa negara pada awal Februari depan, yang akan dimanfaatkan sepenuhnya sebagai medan persiapan kompetitif ke arah Sukan Komanwel.
“Pada awal Februari ini, terdapat kemungkinan lapan negara akan bertanding di Kuala Lumpur, khusus bagi menggunakan portable rink yang merupakan satu-satunya di dunia dan dimiliki oleh negara kita.
"Saya berharap perjalanan serta penganjuran perlawanan itu dapat memberi banyak manfaat kepada pasukan. Diharapkan juga persiapan tersebut mencukupi bagi membolehkan kita menghadapi Sukan Komanwel yang akan datang dengan lebih yakin,” katanya.
Skuad boling padang negara menutup tirai 2025 dengan cemerlang selepas meraih kejayaan berganda di Terbuka China dan Tiger World Bowls Invitation 2025, sekali gus menjadi suntikan keyakinan menjelang cabaran di pentas Komanwel.