KUALA LUMPUR, 24 April -Tiga pelumba basikal trek negara secara rasmi layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 pada Julai ini.
Mereka adalah Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill berkata, perkara itu disahkan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) melaui kuota berbasikal trek bagi setiap Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC).
Menurutnya, perancangan terperinci telah ditetapkan untuk tiga bulan akan datang menjelang temasya itu.
"Dalam masa terdekat ini pasukan trek akan menjalani latihan mereka di Veldrom Nilai dan selepas itu pada pertengahan bulan Jun keseluruhan pasukan akan ke Eropah untuk menjalankan latihan mereka di sana sebelum ke Paris pada akhir pada bulan Julai", Kata Amarijit di sini.
Secara keseluruhan, empat atlet berbasikal Malaysia akan bertanding di Paris termasuk Nur Aisyah Zubir yang sudah mendapat tempat dalam berbasikal lebuh raya.
Berita gembira itu turut dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua atlet-atlet berbasikal trek negara berkenaan.
Dengan perkembangan terbaharu ini, sembilan atlet Malaysia sudah secara rasmi layak ke Olimpik.
Sementara itu, kelayakan berkenaan bakal menjadikan Datuk Mohd Azizulhasni atlet lelaki pertama Malaysia beraksi di lima Sukan Olimpik berturut-turut.
Juara dunia keirin 2017 yang sudah mencecah usia 36 tahun itu, bagaimanapun menegaskan kehadirannya kali ini bukan sekadar melengkapkan penyertaan.
Dalam perkongsiannya di Facebook, pelumba dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu berkata, setiap kitaran Sukan Olimpik mengambil masa selama empat tahun, bermaksud pembabitannya di temasya terbesar dunia itu sahaja sudah 20 tahun.
Menurutnya, persiapan kini berada di fasa terakhir dan menyeru seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan dan mendoakan kejayaannya serta rakan atlet lain yang akan berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 nanti