fb fb fb fb fb

Jiwa saya 'kacau' setiap kali lagu Negaraku berkumandang - Dharma Raj

Jurulatih pasukan hoki Indonesia Muhammad Dharma Raj Abdullah/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Bekas ketua jurulatih pasukan hoki wanita kebangsaan Muhammad Dharma Raj Abdullah sekali lagi menjadi ‘tembok penghalang’ Malaysia untuk memenangi pingat emas acara hoki dalam dewan lelaki pada Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Pengarah teknikal pasukan hoki kebangsaan Indonesia merangkap pengendali skuad hoki dalam dewan lelaki republik itu berjaya membimbing pasukan berkenaan mempertahankan emas selepas menewaskan Malaysia 2-0 menerusi penentuan penalti pada aksi final di Pusat Belia Bangkok.

Ini adalah kali kedua Muhammad Dharma yang lebih mesra disapa Dharma Raj mengecewakan pasukan negara apabila Malaysia turut kempunan meraih kilauan emas susulan kekalahan 1-2 kepada lawan sama selepas terikat 3-3 pada final edisi 2023 di Kemboja.

Namun, meskipun memainkan peranan utama dalam kejayaan Indonesia, jurulatih kelahiran Malaysia berusia 55 tahun itu mengakui perasaan cintakan tanah air tidak pernah pudar dan sentiasa hadir setiap kali lagu Negaraku dimainkan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

Beliau mengakui jiwanya tetap bergolak setiap kali lagu kebangsaan itu berkumandang apatah lagi apabila perlu mengemudi Indonesia berdepan pasukan negara kelahirannya.

“Setiap kali duduk dan dengar lagu Negaraku dimainkan dan saya berdiri pada bahagian sebelah (negara Indonesia) jiwa saya kacau, bibir saya mahu menyanyikan lagu Negaraku tapi saya tahan kerana saya bimbang dirakam kamera.

“Saya sayangkan negara saya, saya patriotik, saya jadi atlet dan jurulatih untuk Malaysia tapi saya tiada pilihan, saya sudah berada di Indonesia selama enam tahun dan saya juga membina kerjaya di sana tapi kalau tiap kali dengar lagu Negaraku tetap terasa,” katanya ketika ditemui di Bangkok baru-baru ini.

Pada final hoki dalam dewan lelaki Sukan SEA 2025, Malaysia dikecewakan menerusi penentuan penalti 0-2 selepas terikat 4-4 dalam masa permainan sebenar.

Mengulas mengenai rahsia kejayaan pada edisi kali ini, Dharma Raj berkata pasukan itu membuat persediaan rapi termasuk menjalani sesi latihan selama kira-kira empat bulan di Jerman dan Sepanyol sebagai persiapan menghadapi saingan Malaysia di pentas final.

“Persiapan kami memang rapi dan mantap, saya menunggu perlawanan ini (final lawan Malaysia) sudah 15 bulan, sejak hari pertama memulakan latihan saya juga sudah tahu pasukan saya akan bertemu Malaysia di final Sukan SEA.- BERNAMA

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI