fb fb fb fb fb

Malaysia raih kejayaan berganda di Kejohanan Boling Padang Antarabangsa

Foto FB Bowls Malaysia

HANGZHOU, 29 Disember – Pasukan boling padang Malaysia menutup tirai 2025 dengan cemerlang selepas meraih kejayaan berganda di pentas antarabangsa melalui Kejohanan Boling Padang Terbuka China 2025 dan Jemputan Boling Padang Dunia Tiger 2025 yang berlangsung di Hangzhou, China baru-baru ini.

Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz, berkata pencapaian menjuarai dua kejohanan utama itu membuktikan kekuatan pasukan negara dalam mengekalkan reputasi sebagai antara pasukan terbaik Asia.

“Keupayaan pasukan negara mengharungi dua kejohanan berturut-turut menunjukkan tahap ketahanan mental, semangat berpasukan dan konsistensi prestasi atlet Malaysia. PLBM amat berbangga dan yakin prestasi ini mampu diteruskan pada kejohanan antarabangsa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Keputusan kejohanan:

Kejohanan Boling Padang Terbuka China 2025

Pasukan lelaki Malaysia menjuarai Men’s Fours selepas menewaskan tuan rumah, Zhu Hai, bagi membawa pulang pingat emas.

Pasukan wanita mara ke final Women’s Fours dan meraih perak selepas tewas kepada pasukan Zhong Ti Time.

Jemputan Boling Padang Dunia Tiger 2025

Pasukan wanita Malaysia dinobatkan sebagai juara Women’s Fours.

Pasukan lelaki Malaysia meraih naib juara Men’s Fours.

Kedua-dua kejohanan dianjurkan secara berturut-turut buat pertama kali di China, sekali gus menguji kecergasan fizikal, fokus dan konsistensi atlet negara sepanjang jadual pertandingan yang padat.

Dengan kejayaan ini, Malaysia terus mengekalkan kedudukan sebagai antara kuasa utama boling padang di peringkat Asia dan antarabangsa.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI