fb fb fb fb fb

Tottenham raih kemenangan, Sunderland diikat Leeds

Pemain Tottenham Hotspur, Archie Gray, menanduk masuk gol pembukaan ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Crystal Palace di Selhurst Park/ Foto AFP

LONDON, 29 Disember- Tottenham Hotspur meraih kemenangan penting apabila menewaskan Crystal Palace 1-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad, sekali gus meredakan tekanan terhadap pengurus pasukan, Thomas Frank.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Archie Gray, yang mencatat gol senior pertamanya, ketika Tottenham mencatat hanya kemenangan kedua mereka dalam sembilan perlawanan liga.

Perlawanan di Selhurst Park menyaksikan Tottenham bergelut untuk mencipta peluang, namun jaringan Gray menerusi tandukan hasil sepakan sudut sudah memadai untuk memastikan tiga mata penuh, meskipun dua gol Richarlison dibatalkan kerana ofsaid.

“Kami berjaya mengharungi perlawanan ini. Pasukan menunjukkan daya juang yang tinggi,” kata Frank selepas perlawanan.

Crystal Palace yang beraksi dalam jadual padat kini gagal mencatat kemenangan dalam lima perlawanan liga, dengan kelemahan pertahanan sepakan mati sekali lagi menghukum mereka.

Kemenangan itu melonjakkan Tottenham ke tangga ke-11 liga, hanya satu mata di belakang Palace yang berada di tempat kesembilan.

Sementara itu di Stadium of Light, Sunderland terikat 1-1 dengan Leeds United, sekali gus gagal menembusi kelompok lima teratas liga.

Sunderland mendahului pada separuh masa pertama menerusi jaringan Simon Adingra, namun penyerang Leeds, Dominic Calvert-Lewin, menyamakan kedudukan awal babak kedua untuk gol keenam berturut-turutnya dalam Liga Perdana.

Keputusan itu membantu Leeds daripada zon penyingkiran, manakala Sunderland kekal di tempat ketujuh, empat mata di luar kelompok empat teratas.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI