SYDNEY, 29 Disember- Pemain tenis nombor tujuh dunia, Alex de Minaur, berkata beliau sedang berusaha meningkatkan kekuatan fizikal dan menambah variasi permainan bagi merapatkan jurang dengan dua pemain dominan dunia, Jannik Sinner dan Carlos Alcaraz.
Pemain Australia itu mengakui masih belum pernah menewaskan kedua-dua bintang tenis berkenaan, yang telah berkongsi lapan kejuaraan Grand Slam terakhir, dan percaya beliau perlu mencari “senjata baharu” untuk mencabar penguasaan mereka.
“Saya telah bermain beberapa perlawanan yang sangat sengit menentang mereka dan saya rasa semakin hampir,” kata de Minaur kepada pemberita di Sydney menjelang kejohanan pembukaan musim, United Cup, yang bermula Jumaat ini.
Menurutnya, beliau kini lebih bersedia untuk mengambil risiko dan mengubah pendekatan permainan bagi menjadi pemain yang mampu mengganggu rentak lawan.
“Matlamat saya adalah untuk mencari cara berbeza bagi memberi tekanan kepada mereka dan menjadi lebih agresif,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi Terbuka Australia yang bermula pada 18 Januari di Melbourne, de Minaur turut memberi tumpuan kepada pembinaan kekuatan badan dengan melantik jurulatih kecergasan baharu.
“Saya cuba menjadi lebih besar dan lebih kuat sambil terus memperbaiki prestasi. Penambahan berat badan sejak beberapa tahun lalu banyak membantu,” katanya.
De Minaur memenangi satu gelaran musim lalu di Washington, menjadikan keseluruhan 10 gelaran ATP sepanjang kariernya setakat ini.
Australia akan menentang Republik Czech dan Norway dalam saingan United Cup yang turut berlangsung di Perth.- AFP