RABAT, 29 Disember – Algeria mengesahkan tempat ke peringkat 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas kemenangan 1-0 ke atas Burkina Faso di Stadium Moulay El Hassan, Rabat, pada Ahad.
Kapten Riyad Mahrez menyempurnakan penalti pada minit ke-23 separuh masa pertama, selepas pemain Manchester City, Rayan Ait-Nouri dijatuhkan dalam kotak penalti.
Gol itu sudah cukup untuk memastikan Algeria membawa pulang tiga mata dalam perlawanan yang berlangsung sengit.
Dengan kemenangan itu, Algeria kini mengumpul enam mata maksimum daripada dua perlawanan dalam Kumpulan E, tanpa dibolosi setakat ini.
Mereka bakal menjuarai kumpulan walaupun tewas kepada Equatorial Guinea pada aksi terakhir, dan akan bertemu lawan dalam peringkat 16 terbaik di Rabat pada 6 Januari.
"Kami menjangkakan perlawanan yang sangat sukar. Kami berjuang habis-habisan dan yang penting adalah kemenangan ini. Kini kami layak, itu adalah matlamat utama," kata penyerang, Ibrahim Maza yang dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Mahrez, yang beraksi dalam AFCON keenamnya, kini mempunyai tiga gol dalam edisi kali ini dan sembilan gol keseluruhan dalam sejarah AFCON, rekod bagi Algeria.
Perlawanan berlangsung di stadium yang penuh sesak dengan 18,522 penyokong Algeria termasuk legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane, yang hadir menyaksikan anaknya, Luca Zidane, menjaga gawang Algeria.
Burkina Faso mencipta beberapa peluang, termasuk tandukan Pierre Landry Kabore dari sepakan penjuru dan percubaan Georgi Minoungou pada minit akhir, namun gagal menjaringkan gol penyamaan. -AFP