BERGAMO, 29 Disember- Inter Milan kekal di puncak Serie A selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Atalanta pada Ahad, sekali gus mengekalkan kelebihan satu mata ke atas seteru setempat, AC Milan.
Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan oleh penyerang Argentina, Lautaro Martinez, yang meneruskan sentuhan cemerlangnya dengan gol keempat berturut-turut dalam aksi liga, sekali gus membantu Inter mengekalkan kedudukan teratas liga.
Gol ke-23 minit Martinez yang juga gol kesembilannya musim ini terhasil selepas kesilapan pertahanan Atalanta, Berat Djimsiti, yang kehilangan penguasaan bola berhampiran kotak penalti sendiri.
Perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mencipta peluang, namun Atalanta gagal menyamakan kedudukan apabila Lazar Samardzic mensia-siakan peluang keemasan pada penghujung perlawanan.
Di San Siro, AC Milan terus memberi tekanan kepada Inter selepas membelasah Verona 3-0, dengan Christopher Nkunku menjaringkan dua gol pertamanya dalam Serie A, termasuk satu menerusi sepakan penalti.
Christian Pulisic turut mencatat nama selaku penjaring, meneruskan prestasi cemerlangnya dengan gol kelapan dalam 11 penampilan liga musim ini.
Sementara itu, Napoli kekal di tempat ketiga, dua mata di belakang Inter, selepas menewaskan Cremonese 2-0 menerusi dua gol Rasmus Hojlund, yang kini mengumpul sembilan gol dalam semua pertandingan musim ini.
Dalam perlawanan lain, Bologna terikat 1-1 dengan Sassuolo, meneruskan rentak tanpa kemenangan mereka kepada empat perlawanan liga.- AFP