ALOR SETAR, 29 Disember- Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari akan mengadakan jelajah ke setiap negeri untuk memantau serta meneliti keperluan bagi memperkasa pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi.
Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya telah mengadakan lawatan ke Kedah dan mendapatkan pandangan daripada pegawai-pegawai belia bagi mengenal pasti isu-isu yang perlu ditangani dan diselesaikan di peringkat kementerian.
“Saya juga telah sampaikan amanat, apa yang dihasratkan oleh kerajaan untuk kita bergerak maju ke depan. Dasar-dasar kerajaan perlu disambut baik di peringkat negeri untuk melaksanakan program pemerkasaan sukan dan pembentukan sahsiah jati diri anak muda.
“Saya juga akan jelajah ke negeri-negeri lain untuk dapatkan input supaya kita boleh membentuk satu dasar agar setiap apa yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan dapat dicapai dan disambut dengan baik di peringkat negeri,” katanya selepas melawat Kompleks Belia dan Sukan Daerah di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan cuba mengurangkan birokrasi dan memastikan setiap keperluan yang mendesak dapat diangkat segera serta dilaksanakan mengikut garis panduan ditetapkan.
Sementara itu, Mohammed Taufiq enggan mengulas lanjut mengenai pertikaian gelaran ‘Dr’ yang membabitkan dirinya, memandangkan perkara itu sudah dijelaskan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC).
“MMC pun dah jawab, fokus saya sekarang untuk kementerian, untuk pastikan apa yang dihasratkan kerajaan dapat dicapai,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat PAS Dr Nurul Islam Yusoff menggesa Mohammed Taufiq menjelaskan penggunaan gelaran ‘Dr’ di hadapan namanya disebabkan beliau memperoleh ijazah perubatan dari Universitas Islam Bandung, iaitu yang tidak diiktiraf di Malaysia.
Mohammed Taufiq yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Ketua Cabang PKR Sungai Petani dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan dalam rombakan Kabinet baru-baru ini.- BERNAMA