THAILAND, 29 Disember – Skuad futsal B-19 negara menamatkan kempen Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 dengan bergaya apabila meraih tempat ketiga selepas menewaskan Vietnam 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga yang berlangsung penuh dramatik itu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa permainan sebenar sebelum Malaysia muncul pemenang menerusi sepakan penalti.
Vietnam terlebih dahulu membuka jaringan apabila Nguyen Truong Hoang Long meletakkan pasukannya di hadapan seawal minit kelima perlawanan.
Foto FB FAM
Skuad negara bagaimanapun tidak mudah mengalah dan terus berjuang dengan mempamerkan semangat juang tinggi meskipun berdepan tekanan hampir sepanjang perlawanan.
Kebangkitan dramatik Malaysia hadir pada penghujung perlawanan apabila Iqbal Hazim meledak gol penyamaan pada minit ke-39, sebelum Aidil Zakwan menyempurnakan jaringan kedua seminit kemudian untuk memberikan kelebihan sementara kepada pasukan negara.
Namun, Vietnam kembali bangkit apabila Nguyen Thac Hieu menyamakan kedudukan 2-2 pada saat akhir perlawanan, sekali gus memaksa aksi ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Foto FB FAM
Pada penentuan itu, ketenangan pemain Malaysia membuahkan hasil apabila menewaskan Vietnam 4-3, sekali gus mengesahkan kedudukan tempat ketiga kejohanan.
Kejayaan tersebut menjadi penamat manis buat skuad futsal Harimau Malaya B-19 selepas melalui kempen mencabar, selain membuktikan daya saing pasukan muda negara di pentas Asia Tenggara.
Sebelum itu, Malaysia mara ke separuh akhir selepas melepasi peringkat kumpulan, namun tewas dalam perlawanan penentuan tiket ke peringkat akhir.