
SAUDARA PENGARANG
- Kebun rumah meningkatkan ketahanan makanan bandar dengan menyediakan sumber makanan tempatan yang cepat, selamat dan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan jauh.
- Amalan kebun rumah seperti pengkomposan mengurangkan sisa, menyejukkan persekitaran, menyerap pencemaran dan meningkatkan biodiversiti bandar.
- Teknologi, kebun komuniti dan dasar sokongan menjadikan kebun rumah inklusif, menjimatkan kos serta berpotensi berkembang menjadi gerakan nasional keselamatan makanan.
Dalam dunia yang semakin terdedah kepada ketidaktentuan global seperti konflik geopolitik, pandemik, perubahan iklim serta inflasi makanan, rantaian bekalan makanan kini berdepan tekanan yang semakin serius.
Keadaan ini memberi kesan langsung terhadap ketersediaan makanan yang selamat, mampu milik dan lestari, khususnya di kawasan bandar yang padat. Dalam konteks ini, kebun rumah muncul bukan sekadar sebagai hobi atau gaya hidup, sebaliknya sebagai strategi alternatif kelestarian makanan bandar yang semakin relevan dan praktikal.
Di kawasan bandar, kebun rumah memainkan peranan penting dalam menyokong kelestarian alam sekitar. Dengan menanam makanan sendiri, isi rumah dapat mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan makanan jarak jauh yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi.
Pada masa yang sama, amalan seperti pengkomposan sisa dapur membantu mengurangkan sisa organik yang berakhir di tapak pelupusan. Kebun di balkoni kondominium atau halaman kecil rumah bukan sahaja menghasilkan sayur segar, malah bertindak sebagai “paru-paru hijau mikro” yang menyejukkan ruang kediaman.
Usaha itu juga membantu menyerap pencemaran udara serta meningkatkan biodiversiti bandar melalui kehadiran serangga pendebunga dan mikroorganisma tanah.
Isu keselamatan makanan bandar semakin ketara apabila sistem rantaian bekalan konvensional yang bergantung kepada logistik panjang dan kompleks terbukti rapuh ketika berlakunya krisis seperti pandemi, bencana alam atau konflik antarabangsa.
Gangguan kecil dalam rantaian ini mampu menyebabkan kekurangan bekalan dan lonjakan harga secara mendadak.
Sebaliknya, kebun rumah mampu menyediakan sumber makanan yang lebih dekat, cepat dan selamat. Keluarga yang menanam sendiri sayur daun seperti kangkung, bayam atau sawi tidak terlalu terkesan apabila harga sayur di pasaran meningkat.
Walaupun kebun rumah tidak dapat menggantikan sepenuhnya sistem bekalan makanan nasional, tetapi ia berfungsi sebagai penampan penting dalam menghadapi situasi krisis.
Dalam konteks Malaysia yang sebahagiannya masih bergantung kepada import sayur dan buah dari negara jiran, kebun rumah berpotensi mengurangkan kebergantungan tersebut, khususnya bagi keperluan harian isi rumah.
Tumpuan kepada tanaman yang mudah ditanam dan kerap digunakan dalam masakan tempatan seperti cili, sayur-sayuran berdaun, terung, bendi dan tanaman herba dapur mampu menggantikan sebahagian besar keperluan dapur tanpa perlu bergantung kepada import.
Anggapan bahawa kebun rumah hanya sesuai untuk mereka yang mempunyai tangan sejuk sahaja adalah tidak sesuai. Hakikatnya, kebun rumah bersifat inklusif dan sesuai untuk semua golongan sama ada yang pernah bercucuk tanam mahupun yang baru bermula.
Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi, pertanian asas merupakan ilmu kelangsungan hidup yang penting kerana makanan ialah keperluan asas semua manusia.
Dengan kreativiti dan pengetahuan yang betul, tanaman boleh diusahakan menggunakan bahan sedia ada seperti bekas terpakai, botol plastik, sistem hidroponik mini atau melalui kebun komuniti di kawasan perumahan bertingkat.
Projek kebun komuniti seperti di Taman Perwira Setia, Gombak telah membuktikan bahawa kebun komuniti yang diusahakan secara bersama mampu mengurangkan kos makanan isi rumah di samping mengeratkan hubungan kejiranan melalui perkongsian hasil.
Di tengah tekanan inflasi makanan global, kebun rumah juga berfungsi sebagai strategi penjimatan yang praktikal. Penanaman sayur-sayuran dan tanaman herba dapur berpotensi menjimatkan sekitar RM50 hingga RM200 sebulan, bergantung kepada jenis dan skala tanaman.
Selain penjimatan kos, hasil tanaman sendiri lazimnya lebih segar, berkualiti dan selamat kerana pengguna mempunyai kawalan terhadap kaedah penanaman. Amalan pertanian semula jadi atau penggunaan baja organik bukan sahaja meningkatkan kualiti makanan, malah menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan keluarga.
Lebihan hasil kebun rumah tidak semestinya terbuang. Ia boleh dimanfaatkan sebagai sumber pendapatan tambahan melalui jualan di pasar komuniti, secara dalam talian atau terus kepada jiran.
Produk hiliran seperti herba sejuk beku, termasuk daun kari, daun limau purut dan daun kesum, turut mempunyai nilai pasaran tersendiri.
Aktiviti ini menyumbang kepada pembentukan ekonomi mikro komuniti bandar, khususnya apabila komuniti setempat membekalkan hasil segar kepada jiran atau restoran kecil, sekali gus mewujudkan kitaran ekonomi tempatan yang lebih lestari.
Keterbatasan ruang bukan lagi penghalang utama dengan adanya teknologi seperti hidroponik dan fertigasi. Sistem hidroponik vertikal atau DIY membolehkan pelbagai jenis sayur daun ditanam di ruang terhad dengan hasil yang konsisten dan penuaian mingguan.
Tambahan pula, penggunaan aplikasi digital dan teknologi Internet of Things (IoT) menjadikan kebun rumah lebih efisien dan mesra pengguna.
Sensor yang memantau kelembapan, suhu dan nutrien serta sistem pengairan automatik membantu individu yang sibuk mengurus tanaman dengan lebih mudah dan teratur.
Dalam perancangan bandar pintar (smart city), kebun rumah dan kebun bandar boleh diintegrasikan sebagai sebahagian daripada hab pertanian bandar.
Kebun atas bumbung, kebun komuniti perumahan dan sistem pertanian vertikal di bangunan pejabat bukan sahaja membantu menyediakan makanan segar, malah meningkatkan kualiti hidup bandar dan mengurangkan jejak karbon.
Beberapa pihak berkuasa tempatan di Malaysia juga telah mula mengintegrasikan kebun bandar dalam agenda pembangunan bandar pintar, sekali gus mengiktiraf peranan strategik kebun rumah dalam pembangunan bandar mampan.
Persoalan sama ada kebun rumah sekadar trend sementara atau mampu berkembang menjadi gerakan nasional bergantung kepada sokongan dasar dan kesinambungan ilmu.
Dengan latihan komuniti, insentif serta penglibatan bersepadu kerajaan, universiti, NGO, sektor korporat dan industri, kebun rumah berpotensi menjadi gerakan nasional keselamatan makanan.
Program seperti “Kebun Komuniti Bandar” perlu diperkukuh dan diperluaskan ke seluruh negara. Istilah “tangan panas” tidak seharusnya wujud kerana kunci kejayaan terletak pada ilmu, bimbingan dan sokongan berterusan.
Kebun rumah bukan sekadar hobi atau gaya hidup, tetapi satu strategi kelestarian bandar yang menyokong keselamatan makanan, mengurangkan kos sara hidup dan menjadi pemangkin kepada ekonomi mikro komuniti.
Dengan sokongan teknologi moden dan dasar yang berkesan, kebun rumah mampu berkembang daripada inisiatif kecil kepada gerakan nasional demi kesejahteraan rakyat dan masa depan makanan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Mahani Amat@Halimi
Pegawai Pertanian Kanan,
Pusat Transformasi Komuniti Universiti
Universiti Putra Malaysia
e-mel: a_mahani@upm.edu.my