Perkasa kebajikan jururawat, elak penghijrahan ke luar negara

Foto hiasan/BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tingkatkan gaji dan elaun jururawat serta pertimbangkan kenaikan pangkat pantas untuk mengekalkan mereka di pasaran tempatan.
  • Tangani beban kerja dan sindrom burnout melalui nisbah jururawat pesakit munasabah serta pengoptimuman peranan pembantu kesihatan.
  • Perluas kuota jururawat terlatih asing dan laksanakan Program Return Talent untuk menarik balik jururawat berpengalaman dari luar negara.
  • Galak anak muda ceburi kejururawatan, tawar biasiswa penuh untuk B40 dan promosi kerjaya bagi menaikkan martabat profesion.

Isu penghijrahan ke luar negara dan kekurangan tenaga kerja jururawat di pasaran tempatan bukan masalah baru di negara kita.

Justeru kita menyambut baik kesediaan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) mempertimbang untuk menaikkan upah atau elaun jururawat dalam usaha mengatasi masalah ‘perang gaji’ bagi mengelak mereka berhijrah ke luar negara.

Media sebelum ini mendedahkan, kajian terkini MBSB Research menunjukkan pasaran tempatan mencatatkan kadar kekosongan jawatan jururawat di paras kritikal sekitar 15 peratus hingga 18 peratus pada tahun 2026.

Fenomena kekurangan tenaga kerja ini memaksa penyedia kesihatan swasta terjerumus dalam persaingan agresif atau ‘perang gaji’ semata-mata demi mengekalkan jururawat sedia ada daripada berhijrah ke luar negara seperti Singapura mahupun Asia Barat.

Secara prinsipnya, syarikat hospital swasta terpaksa menaikkan gaji bulanan secara ketara serta memperkenalkan bonus kesetiaan untuk menghalang penghijrahan kakitangan.

Demi mengelakkan wad ditutup selari dengan penguatkuasaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998, Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) telah melobi secara giat kebenaran pengambilan jururawat terlatih asing (FTN).

Kementerian Kesihatan kini melaksanakan sistem kelulusan berperingkat untuk kuota FTN dengan had sehingga 40 peratus daripada keseluruhan tenaga jururawat swasta, berserta lanjutan kontrak setiap 12 hingga 24 bulan.

Jelas sekali negara sedang berhadapan dengan masalah kekurangan jururawat yang agak kritikal. Ketika ini kita tidak mampu menghalang penghijrahan mereka kerana tawaran gaji dan insentif lebih tinggi.

Justeru diharap pihak kerajaan segera mengkaji dan menaikkan upah dan elaun jawatan ini agar kita mampu mengekalkan mereka di pasaran tempatan dengan laluan kerjaya yang lebih menarik.

Hal ini cukup signifikan kerana dalam keadaan ekonomi yang sangat tidak menentu serta berlakunya kenaikan kos sara hidup secara mendadak, isu pendapatan akan menjadi pertimbangan yang cukup kritikal untuk seseorang pekerja sebelum membuat keputusan hendak bekerja di mana.

Ironinya, walaupun berhijrah ke negara lain dengan meninggalkan ahli keluarga, namun kesempitan ekonomi serta tawaran gaji lebih baik terus menjadi faktor penarik utama untuk mereka melangkah ke luar.

Oleh itu kadar tawaran gaji jururawat sama ada di sektor swasta mahu pun awam wajar diteliti secara mendalam supaya kita mampu menyediakan tawaran yang kompetetif.

Dalam konteks ini mungkin boleh dipertimbangkan laluan kenaikan pangkat secara lebih cepat (fast-track promotion) kepada jururawat yang berprestasi tinggi selain peningkatan secara signifikan dalam elaun yang ada.

Elaun yang sudah lama tidak dikaji dan dibuat penambahbaikan wajar diteliti secara serius. Misalnya Kadar Bayaran Insentif Pos Basik (BIPB) yang bernilai RM100 dilaporkan sudah 17 tahun tidak dikaji dan ini tidak sepatutnya berlaku.

Pada masa sama kita juga perlu memberi perhatian terhadap rungutan tekanan kerja tinggi yang sering kedengaran dalam kalangan petugas kesihatan di negara ini.

Beban kerja yang sangat tinggi menyebabkan ramai yang sedang menghadapi sindrom lesu upaya (burnout) dan keletihan melampau sekali gus membawa kepada masalah gangguan terhadap kesihatan mental.

Pihak majikan perlu menangani masalah ini dengan mengambil kira ketetapan nisbah jururawat-pesakit yang lebih munasabah selain mengoptimumkan peranan pembantu kesihatan untuk tugas bukan klinikal.

Secara logik akalnya, gaji setinggi mana pun tidak mampu membantu jika golongan ini terus terhimpit dengan beban kerja yang melampau.

Pihak kerajaan dan majikan swasta juga boleh mempertimbangkan pendekatan untuk menarik balik jururawat yang sedang berkhidmat di negara luar dengan memperkenalkan Program ‘Return Talent’ khusus untuk kumpulan jururawat dengan tawaran gaji yang lebih tinggi dan kompetitif.

Inisiatif itu sebagai pengiktirafan terhadap pengalam luar negara yang mereka miliki.

Selain itu diharap kuota pengambilan jururawat juga ditambah bagi memenuhi permintaan dan keperluan pasaran kerja di fasiliti kesihatan negara ini.

Pertumbuhan fasiliti kesihatan swasta yang semakin bertambah selain pembinaan klinik dan hospital kerajaan yang baharu serta kadar persaraan yang tinggi menyebabkan permintaan terhadap kerjaya tersebut semakin kritikal.

Maka proses pelan penggantian dan penambahan bilangan jururawat wajar dilaksanakan secara progresif dan lebih terancang. Dalam hal ini kita juga berharap agar ibu bapa dapat memberi galakkan kepada anak-anak untuk menceburi bidang pekerjaan ini supaya dapat menampung keperluan yang serius ini.

Anak-anak lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 misalnya, wajar digalakkan untuk memohon mengikuti latihan kejururawatan yang ditawarkan oleh institusi latihan kerajaan dan swasta.

Ini penting kerana kita tidak mahu kumpulan belia melihat jawatan ini tergolong dalam kategori kotor, bahaya dan sukar (3D) selain tiada laluan kerjaya yang menarik.

Sedarkan anak muda tempatan bahawa kerajaan sedang melaksanakan penambahbaikan terhadap laluan kerjaya skim perkhidmatan jururawat, selain ini adalah kerjaya yang cukup mulia kerana diberi pelaung untuk membantu golongan yang sakit.

Umumnya apa yang kita boleh buat ialah melaksanakan kempen promosi dan galakkan untuk tarik anak muda mengikuti latihan jururawat selain boleh menawarkan biasiswa penuh kepada golongan kurang berkemampuan (B40) dengan ikatan kontrak kerja untuk suatu tempoh masa yang bersesuaian.

Hakikatnya kita perlu akui betapa isu kekurangan jururawat di Malaysia memang kritikal dan ia bukan sekadar soal bilangan, tetapi juga berkait rapat dengan kesejahteraan sistem kesihatan secara keseluruhan.

Bagi mengatasi masalah penghijrahan (brain drain) dan pada masa sama menambah bilangan jururawat, kita memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh mencakupi tiga aspek penting.

Aspek itu ialah usaha untuk mengekalkan tenaga kerja yang ada, inisiatif untuk tarik masuk kumpulan bakat baharu selain mengangkat dan memperkasa martabat profesion jururawat secara menyeluruh.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Noor Mohamad Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat
Universiti Putra Malaysia
e-mel: nmohd77@upm.edu.my