Generasi duduk: Ancaman kesihatan moden

Gambar hiasan janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Duduk berpanjangan tingkatkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, diabetes jenis 2 dan penyakit jantung.
  • Satu jam bersenam tidak memadai jika baki hari dihabiskan tanpa banyak pergerakan.
  • Amalkan rehat aktif, bangun setiap 30 hingga 45 minit, regangan pendek atau berjalan untuk kekal fokus dan bertenaga.
  • Jadikan pergerakan gaya hidup: sasaran 6,000 hingga 8,000 langkah, guna tangga, makan seimbang dan tidur cukup.

Dalam dunia moden yang semakin dipacu oleh teknologi, manusia semakin banyak menghabiskan masa dalam keadaan duduk. Dari bekerja di hadapan komputer, menghadiri mesyuarat, memandu kenderaan, hinggalah meluangkan masa dengan telefon pintar atau menonton televisyen.

Sebenarnya sebahagian besar rutin harian kita berlaku dalam posisi yang sama, duduk. Tanpa kita sedari, gaya hidup ini telah melahirkan satu fenomena baharu yang membimbangkan, iaitu “generasi duduk”.

Fenomena ini bukan sekadar perubahan gaya hidup biasa, tetapi satu cabaran kesihatan awam yang semakin serius. Kajian menunjukkan bahawa duduk terlalu lama meningkatkan risiko penyakit kronik seperti obesiti, diabetes jenis 2, penyakit jantung dan gangguan metabolik.

Lebih mengejutkan, walaupun seseorang itu bersenam selama satu jam sehari, kesan negatif duduk berpanjangan masih boleh menjejaskan kesihatan jika baki masa dihabiskan tanpa banyak pergerakan.

Ironinya, kemajuan teknologi yang sepatutnya memudahkan kehidupan manusia telah menjadikan tubuh kita semakin pasif. Dahulu, aktiviti harian menuntut pergerakan seperti berjalan, mengangkat, dan berinteraksi secara fizikal.

Kini, hampir semua urusan boleh diselesaikan di hujung jari. Kemudahan ini secara tidak langsung “merampas” peluang tubuh untuk bergerak secara semula jadi. Lebih membimbangkan, gaya hidup ini semakin sebati dalam kalangan generasi muda.

Pelajar dan pekerja muda menghabiskan masa berjam-jam di hadapan skrin, sama ada untuk belajar, bekerja atau hiburan. Apabila tabiat ini menjadi rutin sejak awal, ia bukan sahaja membentuk kesihatan fizikal yang lemah, tetapi juga mempengaruhi gaya hidup hingga ke masa depan.

Namun, ancaman “generasi duduk” bukan hanya melibatkan tubuh, tetapi juga minda. Duduk terlalu lama boleh menyebabkan keletihan mental, hilang fokus, dan menurunkan tahap produktiviti.

Tubuh manusia direka untuk bergerak dan apabila kita menafikan fungsi asas ini, kesannya akan dirasai secara menyeluruh, termasuk emosi dan kesejahteraan diri.

Persoalannya, adakah kita perlu berhenti bekerja atau meninggalkan teknologi? Jawapannya tidak. Apa yang diperlukan ialah keseimbangan dan kesedaran. Kita tidak perlu menjadi ekstrem, tetapi cukup dengan mengubah rutin harian agar lebih aktif dan dinamik.

Mulakan dengan langkah kecil tetapi konsisten. Berdiri setiap 30 hingga 45 minit, walaupun hanya selama dua hingga tiga minit. Gunakan teknik mudah seperti berjalan ketika menjawab panggilan telefon, melakukan regangan ringan di tempat kerja, atau berjalan ke rakan sekerja berbanding menghantar mesej.

Jika bekerja lama di meja, pertimbangkan penggunaan standing desk atau meja boleh laras.

Selain itu, jadikan pergerakan sebagai sebahagian gaya hidup, bukan sekadar aktiviti sampingan. Menetapkan sasaran harian, seperti melakukan 6,000 hingga 8,000 langkah sehari, menggunakan tangga berbanding lif atau parkir kenderaan sedikit jauh untuk memberi ruang berjalan.

Selain itu, berusaha luangkan masa untuk aktiviti ringan seperti berjalan santai selepas makan. Ia kerana senaman tidak semestinya di gim, pergerakan harian juga adalah “senaman senyap” yang sangat berkesan.

Malahan, pemakanan dan hidrasi juga memainkan peranan penting. Minum air secukupnya untuk memastikan tubuh kekal segar dan aktif. Elakkan makanan berat yang membuatkan badan lesu ketika bekerja.

Pilih makanan seimbang yang memberi tenaga berpanjangan seperti buah-buahan, kekacang dan sumber protein sihat.

Tidak kurang pentingnya, rehat berkualiti juga perlu diberi perhatian. Tidur yang cukup membantu tubuh pulih dan mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari.

Dalam masa yang sama, ambil “rehat aktif” dengan keluar seketika dari ruang kerja dengan menghirup udara segar, berjalan sebentar, atau lakukan pernafasan dalam untuk menyegarkan minda.

Akhirnya, kesihatan bukan tentang perubahan besar yang sukar dikekalkan, tetapi tentang konsistensi dalam perkara kecil. Dalam dunia yang semakin laju dan digital, mungkin langkah paling bijak ialah mulai untuk bangun, bergerak, dan menghidupkan semula fungsi asas tubuh kita.

Ini kerana hakikatnya, tubuh kita tidak dicipta untuk duduk sepanjang hari. Ia dicipta untuk bergerak, berfungsi, dan menikmati kehidupan dengan penuh tenaga. Jadi, daripada terus menjadi sebahagian daripada “generasi duduk”, mungkin sudah tiba masanya kita menjadi generasi yang kembali bangkit dan bergerak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Ts. Dr. Ahmad Firdhaus Arham
Pusat Pengajian Citra& Institut Islam Hadhari
Universiti Kebangsaan Malaysia
e-mel: benferdaoz@ukm.edu.my