fb fb fb fb fb

MARA perkukuh kerjasama dengan PSM, kebajikan atlet terus diutamakan

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam usaha membangunkan sukan sepak takraw negara/Foto FB MARA

KUALA LUMPUR, 29 Disember – Majlis Amanah Rakyat (MARA) menegaskan komitmen berterusan untuk memperkukuh kerjasama strategik bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dalam usaha membangunkan sukan sepak takraw negara, di samping memastikan kebajikan atlet kebangsaan terus terpelihara.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata kejayaan skuad sepak takraw negara meraih pingat emas acara berpasukan pada Sukan SEA Bangkok 2025 membuktikan keberkesanan pendekatan MARA yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan bakat, malah menyediakan sokongan menyeluruh kepada atlet.

Beliau berkata, MARA komited menjadikan pembangunan sukan sepak takraw sebagai antara keutamaan organisasi selari dengan matlamat melahirkan atlet berprestasi tinggi yang seimbang dari segi kemahiran dan kebajikan.

2912 SKN MARA BANTU TAKRAW 2Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman/Foto FB MARA

“Komitmen MARA adalah yang utama untuk memperkasakan sukan negara, khususnya sepak takraw. Selain itu, MARA turut memberi penekanan kepada pembelaan kebajikan atlet kebangsaan,” katanya pada Majlis Penghargaan Pemain Sepak Takraw MARA di Ibu Pejabat MARA, di sini, hari ini.

Menurut Datuk Zulfikri, kerjasama strategik MARA bersama PSM yang dimulakan lebih dua tahun lalu telah memberi fokus kepada pembangunan bakat secara berstruktur, termasuk menyediakan ruang kepada atlet menjalani latihan sepenuh masa tanpa menjejaskan kerjaya masing-masing.

“Kami bukan sahaja melahirkan bakat baharu, malah turut memperkasa dan memperkukuh bakat sedia ada. MARA menyediakan sokongan dari segi pelepasan tugas, latihan, kebajikan serta bantuan kewangan agar atlet dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada prestasi,” katanya.

Beliau turut menegaskan MARA akan terus memainkan peranan aktif dalam ekosistem sukan negara, termasuk mempertimbangkan penyertaan dalam Liga Sepak Takraw (STL), tertakluk kepada peraturan dan syarat yang ditetapkan.

“Sekiranya dibenarkan dan memenuhi kriteria, MARA bersedia untuk menyertai. Namun, keutamaan kami adalah memastikan kesinambungan pembangunan sukan dan kebajikan atlet terus terjamin,” katanya.

Sementara itu, tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Rosdi, mengakui sokongan berterusan MARA menjadi tunjang utama kejayaan skuad negara meraih pingat emas pada Sukan SEA Bangkok 2025.

“MARA memberikan sokongan penuh kepada kami dalam latihan dan sentiasa memberikan dorongan yang sangat bermakna untuk kami mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Mohammad Syahir, yang bertugas di Bahagian Sumber Manusia MARA, berkata pendekatan MARA dalam menjaga kebajikan atlet wajar dijadikan contoh dalam pembangunan sukan berprestasi tinggi negara.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN