
GAZA, 9 April – Wartawan Al Jazeera Mohammad Weshah terbunuh di Gaza pada Rabu selepas kenderaan yang dinaikinya terkena serangan Israel, menurut sumber pasukan perubatan.
- Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) laporkan 129 wartawan dan pekerja media terbunuh tahun lalu.
- Dua pertiga daripada kematian wartawan itu disebabkan serangan Israel, menurut CPJ.
- Ini tahun kedua berturut-turut rekod tertinggi kematian pengamal media, menurut laporan tahunan CPJ.
- Kementerian Kesihatan Gaza nyatakan serangan Israel bunuh sekurang-kurangnya 700 orang sejak gencatan senjata; Israel kata empat tenteranya terbunuh.
Beberapa penduduk dilihat berada berhampiran kenderaan yang sedang marak terbakar itu dan cuba memadamkan api sejurus selepas serangan berlaku.
Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) pada 25 Februari lalu, seramai 129 wartawan dan pekerja media terbunuh ketika menjalankan tugas pada tahun lalu, dengan dua pertiga daripadanya adalah angkara serangan Israel.
Ia merupakan tahun kedua berturut-turut angka kematian pengamal media mencatatkan rekod tertinggi, dan tahun kedua berturut-turut Israel bertanggungjawab ke atas dua pertiga daripada jumlah kematian tersebut, lapor pertubuhan bebas yang berpangkalan di New York itu dalam laporan tahunannya.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Gaza menyatakan serangan Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 700 orang sejak gencatan senjata bermula. Israel pula mendakwa empat tenteranya terbunuh akibat serangan pejuang di Gaza dalam tempoh yang sama. – REUTERS