fb fb fb fb fb

Atlet Serbia meninggal dunia ketika sertai acara CrossFit di Texas

Atlet Serbia, Lazar Dukic

WASHINGTON, 9 Ogos- Seorang atlet Serbia meninggal dunia pada pagi Khamis ketika menyertai pertandingan renang CrossFit di Texas, menurut kenyataan organisasi kecergasan itu di media sosial.

"Kami sangat berdukacita atas pemergian Lazar Dukic. Hati kami bersama seluruh keluarga, rakan-rakan, dan atlet-atlet yang mengenali Lazar," kata CrossFit di X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.

Dukic, 28 tahun, lemas emasa acara renang pada pagi Khamis di CrossFit Games, satu cabaran kecergasan tahunan selama beberapa hari yang melibatkan atlet dari seluruh dunia, menurut laporan media tempatan.

CrossFit menyatakan pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa dan melakukan segala yang mampu untuk menyokong keluarga mangsa pada masa ini.

Acara itu diadakan di Marine Creek Lake di bandar Fort Worth, Texas, menurut laporan media tempatan.

Dukic berada di tangga ketiga di Serbia dan ke-88 di seluruh dunia, menurut profilnya di laman web CrossFit, yang menyatakan bahawa dia telah menduduki tempat pertama dalam separuh akhir CrossFit Eropah tahun ini.

CrossFit kemudiannya mengumumkan acara-acara lain ditangguhkan untuk sepanjang hari Khamis, tanpa menyatakan sama ada pertandingan akan diteruskan mengikut jadual hingga Ahad.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE