fb fb fb fb fb

27 pasukan sertai Liga Hoki 5s Malaysia 2024

Hasnizam (empat dari kiri) pada sidang media Liga Hoki 5s Malaysia 2024 di Bukit Jalil / Foto: FB Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR, 23 Jun- Sebanyak 15 pasukan lelaki dan 12 pasukan wanita akan berentap bagi merebut kejuaraan Liga Hoki 5 sebelah (5s) Malaysia 2024 pada 16 hingga 20 Julai ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s dan Prestasi Tinggi, Hasnizam Hassan berkata ini menyaksikan peningkatan penyertaan dengan kategori lelaki pada edisi 2023 melibatkan 11 pasukan manakala kategori wanita disertai tujuh pasukan.

Ujarnya, penganjuran liga itu menjadi medan menilai pemain bagi diserap mewakili pasukan negara di kejohanan jemputan Rusia pada 15 hingga 20 Ogos dan kejohanan Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia keenam di Bangkok - Chonburi, Thailand pada 25 hingga 30 Nov ini.

"Perbezaan pada edisi ketiga ini, walaupun ia kategori terbuka, tetapi kami telah menetapkan syarat bahawa setiap pasukan perlu mendaftarkan tiga pemain yang berusia 23 tahun ke bawah bagi memastikan matlamat kami iaitu untuk membangunkan sukan hoki 5s bagi persediaan Piala Dunia 2028 dapat dicapai.

“Walaupun Piala Dunia seterusnya akan berlangsung pada 2028, namun kami perlu melakukan persediaan awal dan kami percaya pemain berusia 23 tahun ke bawah ini mampu membantu membangunkan pasukan dan mereka perlu mengutip pengalaman sebanyak mungkin," katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini.

Format musim 2024 menyaksikan kategori lelaki dan wanita dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Kumpulan A (lelaki) yang menampilkan Pahang, Pulau Pinang, Melaka, PDRM, Perlis, Sarawak dan Perak sementara Kumpulan B melibatkan ATM, Terengganu, Kuala Lumpur, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Kedah.

Sementara kategori wanita pula, Kumpulan C menyaksikan pasukan Selangor, Pulau Pinang, PDRM, Negeri Sembilan, Sarawak dan Johor sementara Kumpulan D menampilkan Pahang, Kuala Lumpur, ATM, Melaka, Kelantan dan Perak.

ZEHRA BINTI ZAMBRI