
BEIJING, 16 Ogos – Robot humanoid kini menyertai barisan hadapan pengurusan trafik di Wuhu, wilayah Anhui, timur China, bagi membantu anggota polis melaksanakan tugas termasuk mengawal persimpangan, mengesan kesalahan lalu lintas dan memberi panduan kepada orang awam.
- Dibangunkan oleh AiMOGA Robotics dan diintegrasikan dengan sistem lampu isyarat bandar untuk melaksanakan gerak arahan standard.
- Dilengkapi kamera definisi tinggi dan penyiar suara pintar, robot rondaan autonomi mengesan serta merakam kenderaan diletakkan secara haram.
- Boleh memberi amaran suara kepada penunggang melanggar peraturan, beroperasi sepanjang masa dan mengurangkan beban anggota polis.
Robot berkenaan dibangunkan AiMOGA Robotics dan diintegrasikan dengan sistem lampu isyarat bandar itu bagi melaksanakan gerak isyarat arahan standard yang diselaraskan dengan perubahan lampu isyarat.
Dilengkapi kamera definisi tinggi serta sistem penyiaran suara pintar, robot itu boleh melakukan rondaan secara autonomi di laluan yang ditetapkan bagi mengesan dan merakam kenderaan yang diletakkan secara haram.
Bagi penunggang skuter elektrik yang tidak memakai topi keledar atau melanggar lampu merah, robot berkenaan memberikan teguran suara secara langsung sebagai peringatan supaya mereka mematuhi peraturan lalu lintas.
Robot itu juga mampu beroperasi sepanjang masa, sekali gus membantu mengurangkan beban tugas anggota polis terutama ketika waktu puncak dan dalam keadaan cuaca ekstrem.
Selain menjalankan tugas di jalan raya, robot humanoid berkenaan turut ditempatkan di dewan pentadbiran kerajaan tempatan bagi memberikan panduan perkhidmatan awam, termasuk membantu pengunjung mendapatkan arah serta maklumat berkaitan perkhidmatan.
Penggunaan robot itu merupakan antara perkembangan terbaharu usaha China mengaplikasikan teknologi robotik dan kecerdasan buatan berjasad dalam perkhidmatan awam.
Teknologi berkenaan membolehkan sistem pintar berinteraksi dengan persekitaran fizikal dan melaksanakan tugas dalam situasi dunia sebenar, termasuk membantu manusia dalam bidang keselamatan, perkhidmatan awam dan pengurusan bandar.