
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Urus niaga hartanah di Malaysia dijangka meningkat sehingga 15 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong pertumbuhan populasi dan kadar urbanisasi yang semakin pesat.
- Pertambahan penduduk dijangka mewujudkan kira-kira 582,000 isi rumah baharu, menjadi pemacu utama permintaan perumahan.
- Sekitar 30 hingga 40 peratus isi rumah baharu dijangka membeli rumah, menambah kira-kira 35,000 hingga 46,000 transaksi hartanah setahun.
- Pertumbuhan penduduk meningkat 2.2 juta menjelang 2030; Selangor, Sabah dan Johor catat kenaikan signifikan, tingkatkan keperluan perumahan mampu milik dan transit.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IQI, Kashif Ansari berkata pertambahan penduduk dijangka mewujudkan kira-kira 582,000 isi rumah baharu, sekali gus menjadi pemacu utama permintaan perumahan.
Menurut beliau, sekitar 30 hingga 40 peratus isi rumah baharu dijangka membeli rumah, yang berpotensi menambah antara 35,000 hingga 46,000 transaksi hartanah setiap tahun.
“Angka ini belum mengambil kira permintaan daripada pembeli naik taraf, pelabur serta pembeli asing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan jumlah penduduk Malaysia dijangka meningkat sebanyak 2.2 juta kepada 36.5 juta menjelang 2030.
Berdasarkan purata saiz isi rumah 3.8 orang, pertambahan itu dijangka menghasilkan lebih 116,000 isi rumah baharu setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Selangor dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar pertumbuhan penduduk dengan tambahan sekitar 382,000 orang, sekali gus meningkatkan keperluan terhadap pembangunan perumahan berorientasikan transit serta kediaman mampu milik dan kelas pertengahan,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Sabah dan Johor turut mencatat pertumbuhan ketara, masing-masing diunjurkan meningkat sebanyak 283,000 dan 279,000 penduduk.
Pertumbuhan di Johor dijangka dipacu pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.