
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Syarikat makanan dan minuman Empire Premium Food Bhd meletakkan sasaran untuk mengumpul RM152.6 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) susulan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 17 April 2026.
- Peruntukan RM79.1 juta untuk membuka 56 cawangan baharu dalam tiga tahun di bawah konsep Grab & Go dan Quick Dine-In.
- Strategi pengembangan meliputi seluruh negara, fokus lokasi bertrafik tinggi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang dan hab transit.
- Pembahagian hasil IPO: RM12.6 juta naik taraf cawangan, RM52.1 juta modal kerja, RM8.8 juta untuk kos berkaitan IPO.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicole Lim berkata, modal saham terbitan diperbesar syarikat juga dijangka berjumlah 1.1 bilion saham dengan permodalan pasaran sekitar RM770 juta berdasarkan harga IPO 70 sen sesaham.
Menurutnya daripada jumlah hasil yang diperoleh, RM79.1 juta atau 51.8 peratus akan digunakan bagi membuka 56 cawangan baharu di bawah konsep Grab & Go dan Quick Dine-In dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kami meliputi semua wilayah dan dalam tempoh tiga tahun kewangan akan datang, kami merancang untuk membuka lagi 56 cawangan.
“Namun, kami tidak menetapkan sasaran kawasan tertentu kerana setiap negeri mempunyai pasukan kami sendiri yang menyokong operasi. Kami akan menilai lokasi-lokasi strategik serta peluang yang ada,” katanya dalam sidang media pelancaran prospektus dan IPO Empire Premium Food Bhd di sini pada Rabu.
Tambah beliau, strategi pengembangan kumpulan juga akan memberi tumpuan kepada liputan menyeluruh di seluruh negara, khususnya di lokasi bertrafik tinggi seperti pusat beli-belah, lapangan terbang dan hab transit.
Mengulas lanjut beliau berkata, sebanyak RM12.6 juta atau 8.3 peratus daripada hasil IPO pula akan digunakan bagi kerja naik taraf dan pengubahsuaian cawangan sedia ada.
Selain itu, RM52.1 juta atau 34.1 peratus akan diperuntukkan sebagai modal kerja, manakala baki RM8.8 juta atau 5.8 peratus bagi menampung kos dan perbelanjaan berkaitan IPO.