
KUALA LUMPUR, 17 April – Ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat dilihat antara faktor utama yang menyumbang kepada penyederhanaan pertumbuhan ekonomi negara, khususnya melibatkan risiko gangguan bekalan tenaga global.
- Semakan unjuran pertumbuhan diturunkan akibat konflik serantau dan risiko gangguan laluan minyak seperti Selat Hormuz.
- Keupayaan industri domestik dijangka terus berkembang walaupun dalam persekitaran ekonomi mencabar.
- Sektor logistik menjadi pemacu utama dalam tiga hingga enam bulan kerana kestabilannya menentukan kelancaran rantaian bekalan.
- Isu utama baki tahun ialah kecukupan bekalan tenaga bagi industri dan pengguna, memerlukan penampan bekalan mencukupi.
Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata, konflik antara Amerika Syarikat-Israel dan Iran serta laluan strategik di Selat Hormuz memberi kesan kepada prospek pertumbuhan, sekali gus mendorong semakan unjuran yang lebih realistik.
“Penyederhanaan unjuran ini sememangnya dipengaruhi krisis di Iran serta risiko gangguan di Selat Hormuz, yang memaksa kita menilai semula jangkaan pertumbuhan ke tahap lebih rendah daripada sasaran asal.
“Namun dalam masa sama, keupayaan industri domestik boleh terus membangun walaupun dalam keadaan mencabar,” katanya ketika ditemui RTM.
Beliau berpandangan dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang, sektor logistik menjadi pemacu penting kerana kestabilannya menentukan kelancaran rantaian bekalan dan aktiviti ekonomi.
Mengulas prospek bagi baki tahun ini, beliau menjelaskan bahawa isu utama bukan sekadar kenaikan harga minyak, sebaliknya melibatkan kecukupan bekalan tenaga untuk kegunaan industri dan pengguna.
Sebarang gangguan bekalan boleh memberi kesan langsung kepada operasi harian termasuk pengangkutan dan penghantaran barangan, yang berpotensi menjejaskan keseluruhan ekosistem ekonomi sekiranya berlarutan.
Bagaimanapun, beliau berpandangan kerajaan dijangka terus memastikan tahap penampan bekalan tenaga kekal mencukupi, termasuk sekitar 700,000 tong sehari bagi menyokong keperluan domestik.
Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan ekonomi negara berkembang 5.3 peratus pada suku pertama 2026, lebih sederhana berbanding 6.3 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.