
KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kadar inflasi di Malaysia dijangka kekal terkawal buat masa ini, namun tekanan kos dalam kalangan pengeluar semakin meningkat.
- IHP kekal dalam julat unjuran BNM 1.5 hingga 2.5 peratus untuk 2026, disokong kawalan harga dan subsidi bersasar.
- MBSB Research memberi amaran risiko kenaikan harga jika gangguan rantaian bekalan global berterusan.
- IHPR melonjak kepada 9.2 peratus pada Jun, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun.
- Kenaikan IHPR disumbang oleh sektor pembuatan, petroleum bertapis dan produk elektronik.
Menurut MBSB Research, keadaan itu menimbulkan risiko kenaikan harga sekiranya gangguan rantaian bekalan global berlarutan.
Jelas firma itu, Indeks Harga Pengguna (IHP) masih berada dalam julat unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu antara 1.5 hingga 2.5 peratus bagi 2026, disokong oleh langkah kawalan harga serta pelaksanaan subsidi bersasar.
”Bagaimanapun, peningkatan ketara Indeks Harga Pengeluar (IHPR) kepada 9.2 peratus pada Jun, paras tertinggi dalam tempoh empat tahun, menunjukkan tekanan kos di peringkat pengeluaran semakin memuncak.
”Sekiranya gangguan rantaian bekalan global akibat konflik di Asia Barat berterusan, sebahagian daripada peningkatan kos itu berpotensi dipindahkan kepada pengguna, sekali gus meningkatkan tekanan inflasi pada masa hadapan,” jelas firma itu dalam nota penyelidikannya hari ini.
Data rasmi menunjukkan IHPR meningkat daripada 7.8 peratus pada Mei kepada 9.2 peratus pada Jun, didorong terutamanya oleh kenaikan kos dalam sektor pembuatan, petroleum bertapis dan produk elektronik.