Banjir Nepal: 54 rakyat Malaysia belum dapat dikesan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Seramai 54 rakyat Malaysia yang terlibat dalam tragedi banjir di Nepal pada 26 Ogos lalu diletakkan dalam kategori belum dapat dikesan atau hilang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra dan agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Bank Negara, JPN memudahkan urusan waris khususnya pengeluaran sijil kematian dengan Nepal.
  • Kerajaan masih berhubung dengan polis Nepal untuk menyemak buku catatan pos laluan pendaki bagi menjejaki pergerakan mereka.
  • Nepal menghentikan operasi mencari dan menyelamat, beralih ke fasa pemulihan, namun kerjasama Nepal dinilai baik dan Malaysia masih berharap.
  • e-Konsular kekal sukarela namun disaran didaftar; MyWorldAlert digabung menyediakan komunikasi pantas berasaskan GPS semasa kecemasan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Wisma Putra dan pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara sedang memudah cara urusan waris.

Ia terutamanya melibatkan pelepasan sijil kematian dengan kementerian berkaitan di Nepal.

“Kerajaan Nepal telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat dan beralih ke fasa pemulihan.

“Namun, kita tidak terus berputus asa dan masih berhubung dengan pasukan polis kerana berdasarkan rekod ‘tracking’, mereka yang melakukan pendakian perlu membuat laporan di setiap pos yang disinggahi.

“Jadi, kita meminta polis tempatan untuk menyemak buku-buku catatan kerana mereka boleh menulis nama. Mereka perlu mendaftar dan mencatat nama di setiap pos yang dilalui.

“Kita mahu menjejaki pergerakan itu berdasarkan rekod berkenaan, tetapi ia memerlukan masa. Kerjasama yang kita terima daripada Kerajaan Nepal amat baik dan kita berharap sesuatu yang ajaib dapat berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jerantut, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad berkata kerajaan belum bercadang mewajibkan pendaftaran sistem e-Konsular kepada rakyat Malaysia di luar negara buat masa ini.

Pendaftaran menerusi platform digital kelolaan Kementerian Luar itu masih bersifat sukarela, namun rakyat Malaysia yang menetap, melancong atau belajar di luar negara disaran mendaftar bagi memudahkan urusan mereka.

“Kita harap rakyat Malaysia yang melancong, menetap atau pergi belajar ke luar negara gunakanlah kemudahan e-Konsular.

“Ini kerana ia adalah satu-satunya aplikasi yang membolehkan pihak kedutaan ataupun pejabat perwakilan kita mengetahui dan berhubung dengan mereka jika ada apa-apa keperluan untuk kita menghubungi mereka,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai aplikasi keselamatan MyWorldAlert yang kini digabungkan dengan e-Konsular, katanya ia berfungsi sebagai sistem komunikasi pantas berasaskan sistem kedudukan sejagat (GPS) yang berupaya menyalurkan maklumat dan amaran penting serta-merta semasa situasi mendesak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.