
SUBANG JAYA, 25 Jun – Syarikat dan usahawan tempatan perlu beralih kepada model perniagaan ‘Made by Malaysia’ atau Buatan oleh Malaysia, berbanding ‘Made in Malaysia’ atau Buatan di Malaysia.
- Perubahan perlu kerana persaingan global sengit, dasar perlindungan perdagangan dan perkembangan teknologi yang pantas.
- Pendekatan 'Made by Malaysia' mampu menjana nilai ekonomi melalui pembangunan bakat, teknologi, produk, perkhidmatan dan jenama tempatan.
- Syarikat mesti berhenti hanya menjadi pengeluar untuk asing, sebaliknya memiliki teknologi dan jenama sendiri untuk nilai tambah.
- KUSKOP akan memperkasa usahawan melalui program pembangunan, termasuk inisiatif PowerUp 10K menyasarkan bantuan kepada 10,000 usahawan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim berkata, langkah itu penting bagi memastikan syarikat dan usahawan tempatan kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar ketika ini.
“Ini bukan kerana syok sendiri mahu mengubah daripada ‘Made in Malaysia’ kepada ‘Made by Malaysia’, tetapi kerana trend ekonomi dunia yang menyaksikan kita berdepan persaingan cukup sengit, bukan sahaja dalam rantau ini malah dengan ekonomi-ekonomi besar.
“Kita juga berdepan dasar perlindungan perdagangan yang kadangkala ekstrem termasuk pengenaan tarif serta perubahan dan pembangunan teknologi yang begitu pantas. Dalam keadaan ini, syarikat dan usahawan Malaysia perlu berubah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran minuman teh sedia diminum (RTD) antara Tealive dan Dutch Lady di sini, hari ini.
Tambah Steven, pendekatan ‘Made by Malaysia’ turut berpotensi mencipta lebih banyak nilai ekonomi kepada negara dari pelbagai aspek termasuk pembangunan bakat, teknologi, produk dan perkhimatan serta jenama tempatan.
“Syarikat Malaysia tidak boleh lagi sekadar berperanan sebagai pengeluar kepada syarikat asing, sebaliknya perlu menjadi pemilik teknologi dan jenama sendiri,” katanya lagi.
Sementara itu, KUSKOP terus komited memperkasa komuniti usahawan menerusi pelbagai program pembangunan dan peningkatan kapasiti termasuk inisiatif ‘PowerUp 10K’ yang menyasarkan bantuan kepada sekurang-kurangnya 10,000 usahawan bagi memperkukuh pertumbuhan serta daya saing perniagaan mereka.
“Tak kira apa juga keadaan, KUSKOP akan terus mendukung dan menyokong usahawan serta koperasi negara bagi memastikan mereka terus berkembang dan berdaya tahan,” jelasnya.