Indeks pelopor naik 1.29%, prospek ekonomi kekal positif

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal optimistik di sebalik ketidaktentuan global yang berlarutan, seperti ditunjukkan menerusi prestasi lebih baik Indeks Pelopor (IP) April 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Indeks Pelopor April naik 1.29% kepada 115.0 mata berbanding 113.5 tahun sebelumnya.
  • Kenaikan disokong oleh Bilangan Unit Kediaman Diluluskan Pembinaan meningkat 35.5%.
  • Namun peningkatan diimbangi oleh penurunan tiga komponen lain, menjejaskan momentum keseluruhan.
  • Indeks Serentak naik 2.6% kepada 131.6 mata, disumbang oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian 8.3%.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), IP bagi bulan berkenaan meningkat 1.29 peratus kepada 115.0 mata, berbanding 113.5 mata pada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan ini didorong oleh prestasi positif beberapa komponen, terutamanya Bilangan Unit Kediaman yang Diluluskan Pembinaan sebanyak 35.5 peratus.

Bagaimanapun, peningkatan ini diimbangi oleh penurunan dalam tiga komponen lain, mengakibatkan kesan terhadap momentum pertumbuhan keseluruhan.

”Dari segi bulanan, IP meningkat 1.25 peratus pada April 2026 disokong oleh Bilangan Syarikat Baru Didaftar dan Import Benar Semi Konduktor, masing-masing menyumbang 0.9 peratus.

”Peningkatan ini selaras dengan perkembangan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi dan permintaan berterusan bagi sektor elektrik dan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meneliti arah aliran jangka panjang pada bulan April, IP kekal berada di bawah 100.0 mata mencerminkan prospek pertumbuhan ekonomi yang positif.

Menurut beliau, aktiviti pelaburan yang berterusan serta permintaan berkaitan teknologi digital dan pusat data dijangka terus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu, Indeks Serentak (IS) yang mengukur keadaan ekonomi semasa, merekodkan peningkatan 2.6 peratus kepada 131.6 mata pada bulan sama, berbanding 128.3 mata pada April 2025.

”Prestasi ini disumbangkan oleh peningkatan dalam kesemua komponen, terutamanya Indeks Pengeluaran Perindustrian sebanyak 8.3 peratus.

”Berdasarkan perspektif bulanan, IS meningkat 0.9 peratus berbanding 0.8 peratus pada bulan sebelumnya, didorong oleh Indeks Pengeluaran Perindustrian (0.6%) dan Kapasiti Penggunaan dalam Pembuatan (0.5%),” katanya.##

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.