Permintaan pelancongan mesra Muslim terus meningkat

Gambar Hiasan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Jun – Permintaan terhadap pakej pelancongan mesra Muslim terus meningkat, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pemain industri untuk memperkukuh penawaran produk dan perkhidmatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pensijilan MFAR penting untuk memastikan ejen memahami standard dan menyediakan pakej serta perkhidmatan memenuhi keperluan pelancong Muslim.
  • MFTF 2026 berlangsung 4 dan 5 Julai di WTC Kuala Lumpur, menampilkan 123 reruai daripada 57 organisasi pada 2,700 meter persegi.
  • Pameran dijangka menjadi platform utama menghubungkan pemain industri tempatan dengan peluang perniagaan dalam sektor pelancongan halal global.

Timbalan Pengerusi Penganjur Pameran Pelancongan Mesra Muslim MATTA 2026 (MFTF 2026), Dr. Fazil Khan berkata perkara itu disokong perkembangan pasaran pelancongan halal global yang merekodkan 196 juta ketibaan pelancong Muslim antarabangsa pada 2025.

Jelasnya, pensijilan Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Perkhidmatan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR) penting bagi memastikan ejen memahami standard perkhidmatan ditetapkan.

“Pelancongan mesra Muslim bukan terhad kepada satu kelompok sahaja. Apa yang penting, ejen yang terbabit memahami konsep itu dan mendapat pensijilan MFAR.

“Pensijilan itu membolehkan mereka menyediakan pakej serta perkhidmatan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim,” katanya pada sidang media MFTF 2026 di sini.

Pertumbuhan pasaran itu turut meningkatkan keyakinan bahawa MFTF 2026 akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding penganjuran sulungnya.

Acara berkenaan akan berlangsung pada 4 dan 5 Julai ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dengan menampilkan 123 reruai daripada 57 organisasi, membabitkan ruang pameran seluas 2,700 meter persegi.

Pameran itu juga dijangka menjadi platform menghubungkan pemain industri tempatan dengan peluang perniagaan dalam sektor pelancongan halal global.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.