
PUTRAJAYA, 27 April – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengesan sebanyak RM3.5 bilion pendapatan tidak dilaporkan, susulan tindakan penguatkuasaan dan semakan audit menerusi sistem e-Invois.
- Peringatan dikeluarkan untuk menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan sukarela.
- Seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan.
- Bagi pembayar yang belum mengemukakan BNCP, tindakan audit dan penguatkuasaan akan diambil.
- Sejak 1 Ogos 2024, 225,604 pembayar mengemukakan e-Invois dengan 1.299 bilion e-Invois dikeluarkan.
Berikutan itu, peringatan dikeluarkan sebagai usaha menggalakkan pembayar cukai membuat pengakuan secara sukarela.
“Hasilnya, seramai 38,906 pembayar cukai telah mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) dan melaporkan pendapatan berjumlah RM3.5 bilion yang melibatkan RM760.7 juta cukai kena dibayar.
“Bagi pembayar cukai yang masih belum mengemukakan BNCP, tindakan lanjut akan diambil melalui tindakan audit dan penguatkuasaan,” menurut kenyataan LHDN.
Bagi memperkukuh pematuhan pelaksanaan e-Invois oleh pembayar cukai, LHDN turut melaksanakan Operasi Semakan Pematuhan e-Invois Peringkat Nasional 2026 secara serentak di seluruh negara dari 20 hingga 24 April lalu.
Menerusi operasi itu, seramai 108 pembayar cukai dikenal pasti masih gagal melaksanakan e-Invois bawah Fasa 1 dan Fasa 2.
Sejak sistem itu diperkenalkan pada 1 Ogos 2024, sebanyak 225,604 pembayar cukai telah mengemukakan e-Invois yang melibatkan pengeluaran 1.299 bilion e-Invois secara keseluruhan.
Ini membuktikan sokongan positif terhadap langkah pendigitalan dalam operasi perniagaan dan pengurusan rekod yang lebih teratur.