
KUALA LUMPUR, 24 April – Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan kelompok paling berisiko terjejas dalam suasana ekonomi global yang semakin tidak menentu.
- Ketiadaan jaringan keselamatan kewangan melemahkan kebolehan PKS untuk menyerap kejutan pasaran.
- Ketidaktentuan krisis bekalan global menyukarkan perancangan pemimpin industri.
- Bencana banjir 2021 menjadi titik perubahan; PKS mula ambil takaful dan rancang kesinambungan perniagaan.
- Kemampuan kewangan masih cabaran; perlu skim perlindungan mampu milik dan ubah pemikiran untuk kurangkan risiko penutupan.
Ini berikutan ketiadaan ‘jaringan keselamatan’ kewangan yang mencukupi untuk menyerap kejutan pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia, Mohd Radzuan Mohamed berkata, krisis bekalan global semasa tidak mempunyai arah yang jelas, sekali gus menyukarkan peneraju industri untuk membuat perancangan.
Sehubungan itu, PKS harus lebih serius dalam merancang kesinambungan perniagaan seperti mana senario selepas banjir besar melanda negara pada 2021.
Lonjakan terhadap kesedaran perlindungan paling ketara berlaku selepas bencana berkenaan, yang menjadi titik perubahan kepada PKS untuk mengambil perlindungan takaful.
“Ini menjadi titik perubahan di mana PKS nampak perlindungan takaful sahaja tidak mencukupi, sebaliknya mereka memerlukan perancangan kesinambungan perniagaan.
“Kita telah mengadakan bengkel bersama SME Bank dan selepas banjir itu, kebanyakan mesej yang kita terima adalah mereka lebih terbuka,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui isu kemampuan masih menjadi cabaran utama untuk PKS menjadikan perlindungan takaful sebagai sebahagian daripada strategi pengurusan risiko kewangan, bukan sekadar instrumen tuntutan.
Oleh itu, beliau menyarankan golongan berkenaan supaya lebih bijak melindungi perniagaan dengan skim-skim perlindungan mampu milik.
“Bila kita menyediakan ‘kekayaan’, mengumpul kekayaan’ kita juga perlu melindungi kekayaan kita menerusi pengurusan kewangan,” katanya.
Tambah beliau, PKS juga perlu mengubah pemikiran untuk membina dan pada masa sama melindungi perniagaan bagi mengurangkan risiko penutupan perniagaan sekiranya berlaku krisis.