Pendekatan bersasar pastikan manfaat AI dinikmati sepenuhnya

Menteri Digital, Gobind Singh Deo ditemui pemberita pada majlis pelancaran Microsoft Elevate yang merupakan inisiatif bagi memperkukuh tahap kesediaan AI Malaysia, sejajar aspirasi untuk menjadi negara AI menjelang 2030.

PUTRAJAYA, 24 April – Pendekatan lebih bersasar akan digunakan Kementerian Digital dalam memastikan manfaat teknologi terkini terutama Kecerdasan Buatan (AI) dapat dinikmati sepenuhnya setiap lapisan masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan bersasar Kementerian Digital memastikan manfaat AI dinikmati setiap lapisan masyarakat.
  • Pendekatan ditentukan melalui penilaian keperluan khusus sektor pendidikan, perniagaan dan perkhidmatan awam.
  • Fokus meningkatkan kesedaran dan kemampuan rakyat mengakses teknologi serta penerangan terperinci di peringkat negeri.
  • Kerjasama kerajaan dengan industri penting bagi memperluas program latihan dan memacu penggunaan AI di seluruh negara.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pendekatan itu ditentukan dengan meneliti keperluan khusus merentasi pelbagai sektor antaranya pendidikan, perniagaan dan perkhidmatan awam.

“Kita perlu pastikan rakyat dapat kesedaran dan keupayaan untuk mengakses teknologi terkini, jadi itu tumpuan kementerian.

“Saya telah meminta seluruh kementerian untuk menggerakkan jentera di setiap negeri kerana banyak permintaan supaya kita dapat menerangkan dengan lebih teliti,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Microsoft Elevate di sini.

Microsoft Elevate merupakan inisiatif bagi memperkukuh tahap kesediaan AI Malaysia, sejajar aspirasi untuk menjadi negara AI menjelang 2030.

Jelas Gobind lagi, kerjasama kerajaan dengan pemain industri termasuk Microsoft juga penting dalam memperluas program latihan dan kesedaran bagi memacu penggunaan AI di seluruh negara.