Tingkatkan kualiti durian, penuhi permintaan eksport

Foto BERNAMA

BATU KURAU, 24 April – Pekebun durian di Perak digalakkan meningkatkan kualiti hasil penanaman bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang termasuk bagi tujuan eksport ke luar negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tingkatkan kualiti hasil bagi memastikan pengusaha tempatan menjana pendapatan lebih tinggi dan tidak terlepas peluang pasaran.
  • Utamakan varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn kerana nilai pasaran antarabangsa lebih tinggi.
  • Merangka pensijilan durian premium dengan penilaian Jabatan Pertanian untuk memenuhi piawaian global.
  • Kriteria pensijilan: sekurang-kurangnya lima pokok induk berbuah konsisten dua tahun; pensijilan memberi nilai tambah kepada harga pemilik.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengusaha tempatan mampu menjana pendapatan lebih tinggi sekali gus tidak terlepas peluang pasaran sedia ada.

Menurutnya, penanaman varieti premium seperti Musang King dan Black Thorn perlu diberi tumpuan kerana mempunyai nilai pasaran lebih tinggi di peringkat antarabangsa.

Pihaknya sedang merangka usaha ke arah pensijilan durian premium dengan penilaian yang akan dibuat Jabatan Pertanian bagi memastikan kualiti hasil tempatan memenuhi piawaian global.

“Saya difahamkan sekurang-kurangnya terdapat lima pokok induk yang berbuah dengan hasil konsisten selama dua tahun berturut-turut untuk dikategorikan dan dinaik taraf sebagai durian premium. Apabila pensijilan ini diperoleh, ia akan memberi nilai tambah kepada harga durian pemilik terlibat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis Pertukaran Hak Milik Pemegang Saham Best Penang Durian di Pejabat Utama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Batu Kurau, di sini hari ini.