
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Perdagangan Malaysia meneruskan trajektori pertumbuhan positif, dengan perdagangan, eksport dan import merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat April 2026.
- Eksport meningkat 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion, meneruskan momentum untuk bulan ke-10 berturut-turut.
- Pertumbuhan eksport didorong oleh barangan elektrik dan elektronik, terutamanya berkaitan kecerdasan buatan dan elektronik automotif.
- Bagi Jan-April, perdagangan melepasi RM1.127 trilion, eksport naik 19 peratus dan lebihan dagangan meningkat dua kali ganda.
Menurut kenyataan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), perdagangan meningkat 28.6 peratus kepada RM336.73 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus merekodkan pertumbuhan terpantas sejak September 2022.
”Eksport pula meneruskan momentum pertumbuhan bagi bulan ke-10 berturut-turut dengan kenaikan sebanyak 36.9 peratus kepada RM182.74 bilion, melonjak hampir RM30 bilion berbanding rekod tertinggi sebelum ini iaitu RM152.77 bilion pada Disember 2025.
”Sementara itu, import berkembang 20.0 peratus kepada RM153.99 bilion, manakala lebihan dagangan berjumlah RM28.75 bilion, yang merupakan lebihan ke-72 bulan berturut-turut sejak Mei 2020,” jelas kementerian berkenaan.
Pertumbuhan eksport didorong terutamanya oleh pengembangan barangan eksport utama, diterajui oleh barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang meningkat
hampir RM28 bilion.
Peningkatan ke paras tertinggi baharu itu disokong terutamanya oleh permintaan kukuh daripada barangan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif.
Pengembangan eksport ini turut diperkukuh oleh kenaikan ketara eksport keluaran petroleum, barangan perkilangan logam, barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan.
Eksport barangan optik dan saintifik serta jentera, kelengkapan dan peralatan turut merekodkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Dari segi pasaran, eksport ke semua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah merekodkan pertumbuhan kukuh dengan eksport ke ASEAN, Taiwan dan EU mencecah rekod tertinggi setakat ini.
Jelas MITI, prestasi perdagangan negara terus mengukuh bagi tempoh Januari hingga April 2026, dengan perdagangan melepasi paras RM1 trilion dalam tempoh empat bulan, sebulan lebih awal berbanding tahun sebelumnya.
Bagi tempoh empat bulan pertama, perdagangan meningkat 15.3 peratus kepada RM1.127 trilion berbanding tempoh yang sama tahun 2025.
”Prestasi ini didorong oleh eksport yang menokok 19.0 peratus kepada RM609.31 bilion serta kenaikan import 11.1 peratus kepada RM517.40 bilion.
”Susulan itu, lebihan dagangan meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya kepada RM91.92 bilion,” jelas MITI.
Walaupun perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan paras tertinggi, MITI dan MATRADE akan terus memantau rapat perkembangan perdagangan global serta kekal proaktif dalam memperkukuh daya tahan perdagangan Malaysia untuk tempoh seterusnya.