Capital A bebas status PN17, buka lembaran baharu pertumbuhan kumpulan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei – Capital A Bhd menerima kelulusan untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) daripada Bursa Malaysia Securities Bhd berkuat kuasa hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyusunan semula kumpulan selesai, menamatkan enam tahun penstrukturan dan membuka lembaran baharu pertumbuhan.
  • Pengurusan melindungi pekerjaan, mengukuhkan ekosistem berkepelbagaian dan terus menumpukan kepada pertumbuhan.
  • Syarikat penerbangan akan beroperasi di satu platform; Capital A fokus perniagaan teras: Asia Digital Engineering, Teleport, AirAsia MOVE, AirAsia Next, Santan.
  • Mencatat keuntungan lima suku berturut-turut bagi perniagaan bukan penerbangan.

Langkah tersebut susulan pelan penyusunan semula kumpulan itu yang telah selesai, sekali gus menamatkan tempoh penstrukturan semula selama enam tahun dan membuka lembaran baharu pertumbuhan Capital A yang seterusnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes menyifatkan keputusan Bursa Malaysia itu tidak mampu dicapai tanpa kepakaran, dedikasi dan sokongan konsisten daripada pelbagai pihak yang telah memainkan peranan penting dalam perjalanan keluar daripada status PN17.

”Ini adalah berita terbaik untuk semua di Capital A. Enam tahun yang lalu sangat mencabar dan ramai meragui kami akan bertahan tetapi kami tidak pernah berputus asa. Kami melindungi pekerjaan, mengubah Capital A menjadi ekosistem yang lebih kukuh dan pelbagai serta terus fokus kepada pertumbuhan.

”Ketika dunia baharu pulih daripada Covid-19, kami berdepan lagi dengan ketidaktentuan global. Namun, strategi membina kumpulan yang lebih berdaya tahan dan tidak bergantung kepada penerbangan sepenuhnya membuktikan keberkesanannya,” jelasnya dalam satu kenyataan kumpulan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Teh Mun Hui berkata semua syarikat penerbangan AirAsia akan beroperasi di bawah satu platform susulan perkembangan terkini itu, manakala Capital A akan menumpukan kepada perniagaan teras yang menyasarkan nilai mampan.

“Perniagaan itu termasuk Asia Digital Engineering (penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform perjalanan), AirAsia Next (jenama dan protokol internet) serta Santan (makanan dan minuman),” katanya.

Kumpulan itu sebelum ini mencatatkan keuntungan bagi lima suku berturut-turut, tidak termasuk perniagaan penerbangan bermula suku pertama 2025 hingga suku pertama 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.