
KUALA LUMPUR, 3 Mac – Malaysia kini berada pada landasan kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti dengan potensi pelaburan bernilai RM65.5 bilion sedang dalam rundingan aktif.
- MIDA mengurus 172 projek dengan cadangan pelaburan berjumlah RM29.1 bilion, menunjukkan minat pelabur kekal tinggi.
- Malaysia mencatat kejayaan antara 2021 hingga 2025 dengan 4,848 projek pembuatan diluluskan.
- Sebahagian besar projek dilaksanakan; hampir 85% capai pelbagai tahap, projek 2021-2024 merekodkan lebih 90% pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, jumlah itu disokong oleh beberapa projek pelaburan strategik yang sedang melalui proses perbincangan dengan pelabur tempatan dan antarabangsa.
“Pada 2025, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah menjalankan 13 misi luar negara ke ekonomi utama di Timur dan Barat, disokong penglibatan strategik oleh Perdana Menteri sendiri.
Hasilnya RM65.5 bilion kini berada dalam perundingan aktif, membuktikan setiap hubungan dan perbualan yang dijalankan memberi nilai tambah kepada Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Media Tahunan MIDA di sini, hari ini.
Tambah beliau, setakat Februari 2026, MIDA sedang mengurus 172 projek dengan cadangan pelaburan berjumlah RM29.1 bilion, menunjukkan minat pelabur kekal tinggi, yang mampu menterjemahkan setiap ringgit menjadi pelaburan produktif di Malaysia.
Mengulas prestasi pelaburan negara, beliau berkata Malaysia mencatat kejayaan memberangsangkan antara 2021 hingga 2025, dengan 4,848 projek pembuatan diluluskan.
Daripada jumlah itu, hampir 85 peratus telah mencapai pelbagai tahap pelaksanaan termasuk pengeluaran, pembinaan kilang dan pemasangan mesin.
Sementara itu, projek yang diluluskan antara 2021 hingga 2024 telah lebih 90 peratus dilaksanakan, manakala projek 2025 pula sudah mencatat 62.2 peratus kadar pelaksanaan.
Kejayaan ini menunjukkan Malaysia berjaya memendekkan tempoh pelaksanaan projek pelaburan yang lazimnya memerlukan 18 hingga 24 bulan dari kelulusan sebelum operasi bermula.