Pasaran getah ditutup bercampur-campur di tengah-tengah harga minyak lebih kukuh

Foto hiasan janaan AI

KUALA LUMPUR, 29 April – Pasaran getah ditutup bercampur-campur hari ini dengan harga minyak mentah yang lebih kukuh dan ia memberi sedikit sokongan, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga minyak mentah meningkat selepas laporan AS meneruskan sekatan terhadap pelabuhan Iran, berpotensi memanjangkan gangguan bekalan.
  • Sentimen pasaran disokong oleh dasar ekonomi China yang mengarahkan bank komersial meluaskan pemberian pinjaman pada April.
  • Ketidaktentuan konflik Asia Barat mengehadkan kenaikan lanjut; GMM20 naik 11 sen, lateks pukal turun 3 sen.

Beliau berkata harga minyak mentah menokok susulan terdapat laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran dan ia merupakan satu tindakan yang berkemungkinan memanjangkan gangguan bekalan dari rantau Asia Barat.

Sewaktu berita ini ditulis, minyak mentah Brent naik 3.11 peratus kepada US$114.70 setong.

Peniaga itu juga berkata sentimen pasaran turut disokong oleh dasar ekonomi yang menggalakkan dari China.

“Bank pusat China mengarahkan beberapa bank komersial untuk memperluas pemberian pinjaman pada April bagi mengelakkan kelembapan ketara dalam pertumbuhan kredit ketika risiko ekonomi luaran semakin meningkat,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, menurut peniaga tersebut, kenaikan selanjutnya telah dihadkan oleh ketidaktentuan yang menyelubungi konflik di Asia Barat.

“Presiden AS Donald Trump telah mengarahkan pembantunya untuk bersiap sedia bagi sekatan yang berpanjangan terhadap Iran, menandakan peralihan ke arah tekanan ekonomi yang berterusan ketika Washington mempertimbangkan langkah seterusnya dalam konflik tersebut,” katanya.

Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 meningkat sebanyak 11 sen kepada 859.5 sen sekilogram manakala lateks pukal turun tiga sen kepada 754 sen sekilogram.- BERNAMA