
KUALA LUMPUR, 22 Januari – Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka akan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus pada beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan datang.
- BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus dalam mesyuarat MPC akan datang.
- Pengekalan OPR dianggap wajar selari dengan momentum pertumbuhan ekonomi negara.
- Inflasi dijangka kekal rendah dan pasaran buruh terus menunjukkan prospek yang sihat.
- Paras OPR semasa berfungsi sebagai penampan terhadap ketidaktentuan luaran dan data ekonomi masa depan.
Ketua ahli ekonomi AmBank Group, Firdaos Rosli berkata, pengekalan OPR pada paras semasa adalah wajar seiring momentum pertumbuhan negara.
”Kita dapat lihat bahawa pertumbuhan negara adalah semakin baik. Pada tahun lepas, (anggaran awal) pertumbuhan KDNK negara pada suku keempat adalah sebanyak 5.7%.
”Ini lebih tinggi daripada konsensus kebanyakan ahli ekonomi sebanyak 5.4% dan mungkin juga ada potensi kenaikan kepada unjuran tersebut,” katanya pada taklimat tinjauan makroekonomi AmBank bagi 2026.

Tambahnya, keadaan inflasi negara juga masih terurus dan dijangka kekal rendah pada 1.8 peratus bagi 2026, selain prospek pasaran buruh yang kekal sihat.
”Kami berpandangan, tiada keperluan yang mendesak untuk menaikkan paras OPR ketika ini.
”Paras 2.75 peratus ketika ini adalah memadai, kerana kadar itu berupaya menjadi penampan kepada sebarang kemungkinan yang mungkin berlaku,” katanya.
Beliau yakin, BNM akan terus memantau perkembangan ekonomi semasa terutamanya ketidaktentuan luaran dan melihat data-data ekonomi akan datang bagi mesyuarat seterusnya.