MDV sasar RM700 juta pembiayaan, sokong agenda ekonomi negara

Ketua Pegawai Perniagaan MDV, Sharul Sazman Samaan

KUALA LUMPUR, 7 Januari– Malaysia Debt Ventures Berhad (MDV) menyasarkan kelulusan pembiayaan berjumlah RM700 juta bagi tahun kewangan 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • MDV memacu pembiayaan berimpak tinggi dengan fokus pembiayaan hijau untuk sokong peralihan tenaga negara.
  • Melaksanakan sesi libat urus untuk bantu syarikat berpotensi mengakses kemudahan pembiayaan.
  • Menganjur jelajah, sesi pembiayaan serta sertai pameran dan ekspo berkaitan.
  • Bekerjasama aktif dengan pemain industri, badan perdagangan dan pihak berkepentingan sektor dimandatkan.
  • Menyalurkan pembiayaan strategik melalui peranan sebagai agensi pelaksana NETF bagi tenaga boleh diperbaharui.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaannya, Sharul Sazman Samaan, sasaran itu bertujuan memacu pembiayaan berimpak tinggi, khususnya dalam pembiayaan hijau bagi menyokong peralihan tenaga negara.

Bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya giat melaksanakan pelbagai sesi libat urus bagi memastikan syarikat berpotensi dapat mengakses kemudahan pembiayaan, sekali gus menyokong pelaksanaan agenda peralihan tenaga dan pembangunan ekonomi negara.

“Antara pelan yang telah dirangka termasuk penganjuran siri jelajah serta sesi pembiayaan, selain penyertaan dalam pameran dan ekspo berkaitan.”

“Kami juga akan bekerjasama secara aktif dengan pemain industri, badan perdagangan serta pihak berkepentingan dalam sektor yang dimandatkan,” katanya dalam sesi temu bual eksklusif kepada RTM.

Tambah beliau, pihaknya akan memanfaatkan peranan sebagai agensi pelaksana Fasiliti Peralihan Tenaga Negara (NETF) bagi menyalurkan pembiayaan strategik kepada projek tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga, selaras dengan keutamaan peralihan tenaga negara.

Usaha berkenaan dijangka dapat memperkukuh peranan institusi pembiayaan tersebut dalam menyokong syarikat tempatan, khususnya dalam merealisasikan projek berimpak tinggi yang sejajar dengan agenda pembangunan mampan dan pertumbuhan ekonomi negara.