
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Malaysia Airlines Bhd tetap mengekalkan prestasi ketepatan masa (OTP) melebihi 90 peratus sepanjang April, meskipun beroperasi dalam persekitaran industri penerbangan yang semakin mencabar dan dinamik.
- Konsisten melepasi sasaran OTP 85% sejak Januari 2026, mencerminkan kestabilan operasi.
- Trafik penumpang meningkat 30% tahun ke tahun pada Mac dan berkembang 8% pada April.
- Peningkatan proses menaiki pesawat dan sokongan darat menyumbang pengalaman perjalanan lebih lancar dan boleh dipercayai.
- Kempen Now Boarding tawar tambang Flex tanpa caj perubahan, tambang kanak kanak, pek aktiviti dan diskaun eksklusif untuk tempahan terus.
Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan nasional itu memaklumkan pencapaian tersebut menandakan bulan kedua berturut-turut purata OTP kekal melepasi paras 90 peratus, sekali gus mencerminkan kestabilan operasi yang berterusan.
Ia turut konsisten melepasi sasaran OTP 85 peratus sejak Januari 2026.
“Prestasi berterusan ini mencerminkan penambahbaikan operasi di seluruh rangkaiannya, termasuk peningkatan dalam proses menaiki pesawat dan sokongan di darat, yang menyumbang kepada pengalaman perjalanan yang lebih lancar dan boleh dipercayai buat pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, permintaan pelanggan juga kekal memberangsangkan dengan trafik penumpang meningkat 30 peratus tahun ke tahun pada Mac serta meneruskan momentum positif itu pada April dengan pertumbuhan lapan peratus.
“Pertumbuhan berterusan itu mencerminkan permintaan asas yang stabil bagi perjalanan merentasi pasaran utama, meskipun persekitaran perjalanan udara global terus berubah,” menurut kenyataan sama.
Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group, Bryan Foong berkata, pihaknya memahami pengembara kini berdepan persekitaran yang lebih tidak menentu, sehubungan itu kebolehpercayaan dan fleksibiliti kekal menjadi aspek penting dalam merancang perjalanan.
“Kami terus memberi tumpuan kepada penyampaian operasi yang selamat dan boleh dipercayai, selain menyediakan fleksibiliti serta sokongan yang diperlukan pelanggan ketika corak perjalanan terus berkembang.
“Konsistensi operasi yang dicapai sejak beberapa bulan kebelakangan ini bersama permintaan pelanggan yang terus kukuh di pasaran utama, merupakan petunjuk positif terhadap kemajuan stabil yang sedang dicapai syarikat penerbangan ini,” katanya.
Malaysia Airlines turut memperkenalkan kempen “Now Boarding” di pasaran utama, seiring peningkatan keperluan pengembara terhadap jaminan dan nilai.
Kempen berkenaan menghimpunkan pelbagai tawaran berfokuskan pelanggan bagi menyokong keputusan perjalanan yang lebih fleksibel dan diyakini.
Antara tawaran utama ialah keluarga tambang ‘Flex’, yang membolehkan perubahan penerbangan tanpa had tanpa caj tambahan, sekali gus memberi ketenangan fikiran sekiranya perancangan berubah.
Bagi keluarga yang merancang percutian, Malaysia Airlines turut menawarkan tambang kanak-kanak serta pek aktiviti khas dalam penerbangan untuk penumpang muda bagi mewujudkan pengalaman perjalanan yang lebih menyeronokkan dan lancar.
Pelanggan yang membuat tempahan terus melalui laman sesawang rasmi Malaysia Airlines atau aplikasi mudah alih rasmi turut menikmati manfaat eksklusif, termasuk penjimatan lima peratus untuk ahli Enrich, diskaun sehingga 15 peratus bersama Maybank serta pulangan tunai sehingga RM150 melalui UnionPay.