LHDN wajar pertingkat komunikasi, penyampaian maklumat kepada pembayar cukai

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong/BERNAMA

PUTRAJAYA, 8 Januari– Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) perlu memberi tumpuan kepada komunikasi yang lebih jelas, mudah difahami dan memuaskan kepada semua pembayar cukai, terutamanya melibatkan perubahan atau pelarasan peraturan dan undang-undang percukaian.

RINGKASAN BERITA AI
  • LHDN perlu tingkatkan komunikasi jelas dan mudah difahami kepada semua pembayar cukai, terutama tentang perubahan peraturan.
  • Agensi digesa mendengar dan memahami sentimen awam kerana isu percukaian sensitif kepada pembayar cukai.
  • LHDN boleh dorong persaingan adil dan sokong syarikat Malaysia yang berteknologi tinggi untuk jadi juara dunia.
  • Peranan LHDN penting memacu pendigitalan negara dan memperluas digitalisasi proses kerajaan kepada populasi besar.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dalam kenyataan berkata menyedari bahawa hal percukaian merupakan perkara sensitif kepada semua pembayar cukai, adalah penting bagi LHDN untuk mendengar dan memahami sentimen awam.

Beliau yang mengadakan lawatan sulung ke Ibu Pejabat LHDN baru-baru ini turut menegaskan, agensi itu juga boleh memainkan peranan penting dalam melonjakkan kedudukan syarikat Malaysia.

”Kita biasanya menganggap hanya syarikat asing mempunyai teknologi, dan mengetepikan fakta bahawa sudah ada syarikat-syarikat Malaysia yang telah mencapai tahap teknologi tinggi, malah bertaraf juara dunia dalam bidang-bidang khusus.”

”Saya yakin LHDN dapat menjadikan inisiatif ini sebagai salah satu misinya dengan memastikan wujudnya medan persaingan adil untuk kedua-dua syarikat asing dan tempatan,” katanya.

Beliau juga berharap LHDN akan terus memacu agenda pendigitalan negara berdasarkan kejayaannya menguruskan pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain melaksanakan tugas asasi sebagai pengumpul dan pengutip hasil untuk kerajaan.

”Menerusi kejayaan mengendalikan subsidi bersasar BUDI95 juga, Malaysia telah membuktikan keupayaannya sebagai sebuah negara digital yang berjaya.”

”Usaha ini perlu diperluas untuk meningkatkan tahap pendigitalan proses-proses kerajaan. Justeru, peranan LHDN sangat penting dalam menjayakannya memandangkan gerak kerjanya melibatkan populasi yang besar,” tambahnya.