
KUALA LUMPUR , 8 Januari – Pasaran hartanah negara kini memasuki fasa yang lebih stabil dan mampan pada 2026, selepas aktiviti pasaran kembali sederhana susulan lonjakan ketara pascapandemik COVID-19, menurut Rahim & Co Research Sdn Bhd.
- Pasaran hartanah dijangka lebih stabil dan mampan pada 2026 selepas tempoh pemulihan pascapandemik.
- Permintaan domestik kekal kukuh, menyokong nilai transaksi dan tumpuan pada aset berkualiti lokasi strategik.
- Prestasi wilayah lebih seimbang, disokong peningkatan kesalinghubungan infrastruktur dan pengembangan sektor perindustrian.
Firma penyelidikan itu memaklumkan, sepanjang 2025 pasaran hartanah menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan, namun kekal kukuh .
Pengarah Perkhidmatan Penyelidikan dan Perundingan Rahim & Co, Sulaiman Saheh, berkata trend itu mencerminkan kematangan pasaran susulan perubahan keutamaan pembeli yang kini lebih menitikberatkan aspek kediaman, kesalinghubungan dan nilai jangka panjang .
“Jumlah lebihan stok berkurangan semasa COVID-19 kerana pasaran bertindak berhati-hati, membolehkan permintaan domestik terus kukuh, dan kini permintaan kembali meningkat apabila pasaran dibuka semula, ” katanya dalam ulasan Tinjauan Pasaran Hartanah 2025/2026 Rahim & Co di ibu negara.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, jumlah transaksi hartanah menurun 2.1 peratus kepada 304 ribu 482 unit, namun masih merupakan prestasi kedua tertinggi dalam tempoh lebih sedekad.
Dalam tempoh sama, nilai keseluruhan transaksi meningkat 5.6 peratus tahun ke tahun kepada RM172.06 bilion, menandakan permintaan berterusan terhadap aset berkualiti, khususnya di lokasi strategik.
Beliau berkata, keyakinan pasaran terus disokong permintaan domestik yang kukuh, aliran pelaburan berterusan dan pasaran buruh yang mantap, meskipun tekanan kos menyebabkan pembeli dan pemaju lebih berhati-hati.
Di peringkat wilayah, prestasi pasaran hartanah dilihat semakin seimbang apabila beberapa negeri termasuk Johor, Kedah dan Melaka mencatat jumlah transaksi tertinggi dalam lebih sedekad.
Perkembangan ini dipacu peningkatan kesalinghubungan infrastruktur, pengembangan sektor perindustrian serta kesan limpahan ekonomi rentas sempadan.
Sekali gus mencerminkan permintaan hartanah yang semakin meluas di luar bandar utama.