
KUALA LUMPUR, 20 Mei – Generasi muda disaran melihat sektor koperasi sebagai platform kerjaya dan keusahawanan berpotensi tinggi.
- Lebih 16,000 koperasi kini berdepan kekurangan tenaga mahir dalam pentadbiran dan pengurusan.
- Sektor koperasi menawarkan peluang luas dalam pengurusan, pentadbiran dan keusahawanan kepada golongan muda.
- IKMa menggesa generasi muda menyahut cabaran dan bersama memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti melalui koperasi.
Jelas Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor, ketika ini, lebih 16,000 koperasi memerlukan tenaga kerja mahir.
Tambahnya, sektor koperasi kini menawarkan peluang yang lebih luas termasuklah bidang pengurusan, pentadbiran dan keusahawanan.
“Namun, saya ingin memaklumkan bahawa sektor ini ketika ini mempunyai sebanyak 16,253 koperasi. Dalam masa sama berdepan kekurangan tenaga yang berkemahiran dalam aspek pentadbiran dan pengurusan koperasi.
“Sehubungan itu, saya berharap golongan muda dapat menyahut cabaran baharu ini dan bersama-sama memperkukuh pembangunan sektor koperasi negara,” kata beliau kepada pemberita selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM) berkata, sektor koperasi turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi komuniti serta membuka peluang kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi rakyat.