
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) menggesa Amerika Syarikat (AS) untuk mengambil pendekatan lebih seimbang terhadap cadangan tindakan tarif Seksyen 301 bagi import produk yang dikaitkan dengan buruh paksa.
- FMM menyokong usaha membanteras buruh paksa tetapi menentang tarif tambahan terhadap pengeluar Malaysia yang mematuhi peraturan.
- FMM memohon USTR mengekalkan pengecualian Lampiran A untuk produk elektrik, elektronik dan semikonduktor serta elakkan tindakan tarif berganda.
- FMM cadangkan mekanisme semakan tahunan kadar duti dan memberi amaran tarif boleh dipindahkan kepada pengimport serta pengguna di AS.
Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok berkata pihaknya telah mengemukakan maklum balas bertulis kepada Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) berhubung cadangan berkenaan.
Jelasnya, persekutuan itu menyokong penuh usaha membanteras penggunaan buruh paksa dalam rantaian bekalan global, seiring pendirian konsisten FMM.
Namun, beliau menegaskan bahawa cadangan tarif tambahan tidak wajar dilaksanakan terhadap pengeluar tempatan yang mematuhi peraturan, yang turut berisiko menjejaskan hubungan perdagangan serta rantaian bekalan sedia ada antara Malaysia dan AS.
”Kebanyakan pengeluar Malaysia yang mengeksport ke AS sudah mematuhi keperluan buruh yang ketat ditetapkan pelanggan, termasuk audit, kod tatalaku pembekal dan keperluan kebolehkesanan.
”FMM bimbang bahawa duti tambahan itu boleh meningkatkan kos kepada pihak berkepentingan di AS, khususnya pengimport, pengeluar dan pengguna, memandangkan pengeluar Malaysia merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan khusus yang telah lama wujud,” katanya ketika dihubungi RTM.
Berdasarkan maklum balas ahli, kos tarif itu mungkin sepenuhnya atau sebahagiannya dipindahkan kepada pelanggan di AS, sekali gus memberi kesan kepada harga, ketersediaan produk dan tempoh penghantaran.
Sehubungan itu, FMM memohon USTR untuk mengekalkan pengecualian dalam Lampiran A, khususnya bagi produk elektrik dan elektronik, semikonduktor serta produk berkaitan yang penting kepada rantaian bekalan global.
FMM turut mencadangkan agar barangan Malaysia yang sudah tertakluk kepada langkah tarif Seksyen 232 tidak dikenakan tindakan tarif berganda di bawah cadangan Seksyen 301.
FMM juga mencadangkan supaya USTR mewujudkan mekanisme semakan berkala sekurang-kurangnya sekali setahun bagi menilai semula kadar duti ke atas barangan dari Malaysia.
Cadangan itu, menurut FMM, selaras dengan usaha domestik Malaysia termasuk penubuhan Pasukan Petugas Antara Agensi Mengenai Buruh Paksa yang diumumkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani di Parlimen pada 23 Jun 2026.
Pada 2 Jun lalu, USTR menerbitkan dapatan siasatan di bawah Seksyen 301 berkaitan buruh paksa yang melibatkan Malaysia dan mencadangkan tarif 10 peratus ke atas barangan Malaysia selepas tamat tempoh tarif yang dikenakan bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974 pada 24 Julai.