
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu ke-12 berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk bersih berjumlah RM474.6 juta pada minggu lepas.
- Pelabur asing kekal penjual bersih untuk minggu kelapan berturut-turut.
- Sektor teknologi mencatat aliran masuk asing tertinggi; perkhidmatan kewangan merekod aliran keluar asing terbesar.
- Purata volum dagangan harian merosot untuk semua kumpulan; institusi tempatan -23.4%, runcit -12.7%, asing -5.9%.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB Research) belian berterusan itu berlaku ketika institusi asing kekal sebagai penjual bersih bagi minggu kelapan berturut-turut, dengan aliran keluar bersih sebanyak RM391.1 juta.
“Ia berkata pelabur asing merupakan penjual bersih pada tiga daripada lima hari dagangan minggu lepas, dengan aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM183.0 juta.
“Aliran masuk tertinggi pula direkodkan pada Isnin sebanyak RM55.4 juta, diikuti Jumaat sebanyak RM11.7 juta,” menurut laporan aliran dana mingguan bank pelaburan itu.
MBSB Research memaklumkan sektor teknologi mencatatkan aliran masuk bersih asing tertinggi sebanyak RM41.6 juta, diikuti sektor pengangkutan dan logistik (RM26.0 juta) serta pembinaan (RM22.2 juta).
Sementara itu, aliran keluar bersih asing terbesar dicatatkan dalam sektor perkhidmatan kewangan sebanyak RM252.2 juta, diikuti sektor produk dan perkhidmatan pengguna (RM60.0 juta) serta penjagaan kesihatan (RM59.3 juta).
Menurut MBSB Research, purata volum dagangan harian menurun bagi semua kumpulan pelabur, dengan penyusutan sebanyak 12.7 peratus dalam kalangan pelabur runcit, 23.4 peratus bagi institusi tempatan dan 5.9 peratus bagi pelabur asing.